AM

Insiden Serangan Di Lubnan Tidak Jejas MALBATT - Panglima Angkatan Tentera

27/10/2025 02:41 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Insiden serangan terhadap Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) tidak memberi sebarang kesan kepada pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 yang kini dalam misi pengaman.

Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata semua anggota MALBATT dalam keadaan selamat dan operasi mereka berjalan seperti biasa.

“Tidak ada apa-apa yang memberi kesan kepada MALBATT dan mereka kini sedang dalam proses persiapan untuk pertukaran pasukan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Pasukan MALBATT 850-12 dijadualkan pulang secara beransur menjelang November ini dan akan digantikan oleh pasukan MALBATT 850-13 termasuk satu platun daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

UNIFIL dalam kenyataannya semalam memaklumkan satu daripada pasukan perondanya diserang menggunakan bom tangan oleh dron dan kereta kebal Israel berhampiran Kfar Kila di selatan Lubnan. 

Menurut kenyataan itu, sebuah dron Israel terbang di atas kawasan rondaan menyebabkan pasukan pengaman berkenaan mengambil langkah pertahanan bagi meneutralkan ancaman terbabit.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan dalam insiden itu.

UNIFIL beroperasi di selatan Lubnan sejak 1978 dan diperkukuhkan secara besar-besaran selepas perang antara Israel dan kumpulan Hizbullah pada 2006 melalui Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483839