AM

Kerjasama EU-ASEAN Penting Untuk Harungi Cabaran Dalam Dunia Multipolar - Antonio Costa

28/10/2025 03:44 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Presiden Majlis Eropah (EC) Antonio Costa berkata dalam landskap global yang semakin multipolar, kerjasama antara kumpulan serantau seperti Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN kini menjadi lebih penting berbanding sebelumnya.

Beliau berkata memandangkan dunia multipolar menuntut kerjasama yang juga bersifat serupa, pengukuhan hubungan politik, ekonomi serta interaksi antara rakyat di kedua-dua wilayah adalah penting bagi mencapai kestabilan dan kemakmuran bersama.

“Seperti yang anda sedia maklum, Kesatuan Eropah adakah rakan kongsi yang boleh dipercayai, stabil serta diyakini, dan saya percaya Sidang Kemuncak (ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan) ini merupakan peluang yang amat baik untuk membuktikan perkara tersebut,” katanya ketika menjadi tetamu program The Nation yang disiarkan di Bernama TV hari ini.

Costa, yang juga bekas Perdana Menteri Portugal, berkata langkah memperkukuh penglibatan EU dengan ASEAN terus menjadi antara keutamaan EU.

Beliau turut memuji kepimpinan Malaysia dan peranannya yang konstruktif di bawah Kepengerusian ASEAN 2025, sambil menyifatkan pencapaian itu sebagai satu kejayaan besar.

Beliau juga berkata Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, memainkan peranan yang amat penting sebagai pengantara dalam konflik antara Kemboja dan Thailand, selain menyorot kejayaan Timor-Leste menyertai blok serantau itu sebagai anggota ke-11.

“Jika kita dapat menikmati keamanan hari ini, kita seharusnya berterima kasih kepada Malaysia atas usaha bertindak sebagai pengantara yang menghentikan konflik ini,” katanya.

Costa tiba di Malaysia pada Sabtu lepas untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan sebagai Tetamu Pengerusi,  atas jemputan Anwar.

Ini merupakan kunjungan pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik ke jawatan itu pada Disember 2024.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berperanan sebagai platform utama bagi memperkukuh kerjasama serta menangani cabaran serantau dan global secara menyeluruh.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484364