ALOR SETAR, 29 Okt (Bernama) -- Seorang aktivis politik dan dua rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta dan bersetuju menerima wang suapan daripada seorang pendakwah selebriti, tahun lepas.
Aktivis berkenaan, Zamil Ibrahim, 58, bersama Jamal Muhaideen Mohmad Hussin, 41, dan Muhammad Redza Adzmi, 34, didakwa secara bersama meminta suapan berjumlah RM400,000 daripada pendakwah selebriti Ahmad Husam Muhamad Baderudin di lobi sebuah hotel di Sungai Petani, kira-kira 9 malam pada 4 Nov 2024.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk membantu menyelesaikan siasatan kes pengubahan wang haram terhadap Yayasan Ar-Riyadah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagi pertuduhan kedua, ketiga-tiga tertuduh didakwa dengan niat bersama bersetuju menerima RM20,000 daripada Ahmad Husam bagi tujuan sama di pekarangan Masjid Al-Khairiyah, Bedong, daerah Kuala Muda pada 12.30 tengah hari, 5 Nov 2024.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim N. Priscilla Hemamalini kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, serta menetapkan 26 Nov ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Fariz Abdul Hamid dan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Zulfadli Azharudin, manakala Zamil dan Jamal Muhaideen diwakili peguam Aiman Abdul Rahman, dan Muhammad Redza diwakili S. Ganesan.
-- BERNAMA