KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia diniaga rendah pada sesi dagangan tengah hari ini disebabkan aktiviti pengambilan untung kebanyakannya dalam saham produk pengguna, perladangan dan utiliti.
Pada 12.30 tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.82 mata atau 0.30 peratus kepada 1,608.74 berbanding 1,613.56 semasa ditutup pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.01 mata kepada 1,614.57 dan bergerak antara 1,606.44 dan 1,617.02 semasa sesi dagangan pagi.
Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 541 kepada 301 manakala 467 kaunter tidak berubah, 1,427 tidak diniagakan dan 77 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 1.61 bilion unit bernilai RM1.12 bilion.
Malacca Securities Sdn Bhd dalam satu nota penyelidikan berkata sentimen di Bursa Malaysia dijangka bertambah baik dan mendapat kejelasan lanjut susulan pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping.
Pertemuan antara kedua-dua pemimpin dijadual berlangsung esok (30 Oktober), di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Busan, Korea Selatan.
Firma pembrokeran itu berkata peniaga mungkin mencari peluang untuk membeli saham, saham berkaitan teknologi terpilih dijangka terus mendapat manfaat daripada permintaan yang semakin meningkat untuk penyimpanan data.
Antara saham wajaran tinggi menyaksikan Tenaga Nasional menambah dua sen kepada RM13.24, Maybank dan Public Bank masing-masing turun kepada RM9.86 dan RM4.19, IHH Healthcare merosot empat sen kepada RM8.24, manakala CIMB Group tidak berubah pada RM7.39.
Bagi saham aktif, Borneo Oil tidak berubah pada setengah sen, Perak Transit dan Zetrix AI merosot dua sen masing-masing kepada 37.5 sen dan 81.5 sen, Tanco Holdings menambah dua sen kepada 92.5 sen dan Ekovest susut 1.5 sen kepada 36.5 sen.
Saham paling untung pula antaranya Nestle naik RM2.60 kepada RM109.70, Malayan Cement meningkat 28 sen kepada RM6.70, Chin Teck menambah 26 sen kepada RM11.26, Dufu Technology melonjak 15 sen kepada RM1.88 dan Pentamaster menokok 12 sen kepada RM4.43.
Bagi saham paling rugi, Petronas Dagangan turun 32 sen kepada RM22.14, Bintulu Port merosot 26 sen kepada RM5, Kuala Lumpur Kepong menguncup 22 sen kepada RM20.64, Petronas Gas berkurangan 10 sen kepada RM18.50, mankala Ecomate Holdings turun lapan sen kepada RM1.44.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 33.92 mata kepada 12,032.17, Indeks FBMT 100 berkurangan 35.80 mata kepada 11,771.56, dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 38.54 mata kepada 12,113.47, Indeks FBM 70 susut 54.21 mata kepada 17,129.31 dan Indeks FBM ACE menguncup 22 mata kepada 5,158.25.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 20.61 mata kepada 18,172.69, Indeks Tenaga susut 4.76 mata kepada 768.32, Indeks Perladangan berkurangan 23.45 mata kepada 7,955.63, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian pula naik 0.20 mata kepada 171.15.
-- BERNAMA