KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Malaysia berpegang teguh kepada prinsip berkecuali, pendekatan whole-of-government (keseluruhan negara) dan sentiasa memastikan kepentingan serta kedaulatan negara terus dilindungi dalam memuktamadkan rundingan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan pasukan perunding negara tidak berganjak pendirian dalam perkara melibatkan isu “red line” (isu tidak boleh dikompromi) khususnya hak bumiputera, dasar perolehan kerajaan dan tuntutan liberalisasi ekuiti sepenuhnya bagi sektor strategik negara seperti tenaga dan telekomunikasi.
Justeru, katanya, dakwaan sesetengah pihak kononnya perjanjian itu sebagai ‘menjual negara’ amat tidak tepat sama sekali.
“Jika kita bagi kesemuanya (isu “red line”), tiada jaminan kita akan diberikan tarif lebih rendah. Ini hakikatnya. Tetapi kita tetap dengan pendirian kita, pertahankan kepentingan negara, tidak berganjak walaupun seinci.
“Ini soal maruah dan kedaulatan negara. Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, kerajaan tidak akan sekali-kali mengizinkan kedaulatan kita diganggu-gugat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan menteri berhubung memelihara dan mengukuhkan daya saing perdagangan dan pelaburan Malaysia dalam mendepani cabaran geoekonomi global menerusi Perjanjian ART Malaysia-AS, di Dewan Rakyat hari ini.
Tengku Zafrul berkata, selain itu, berdasarkan kelonggaran yang diberikan oleh AS berbanding dengan tuntutan awal, Perjanjian ART disifatkan sebagai kesepakatan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, termasuk sektor perniagaan dan eksport Malaysia.
“Kenyataan ini disokong oleh pelbagai persatuan industri tempatan. Malah, ramai dalam komuniti industri memberitahu MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) secara terus terang, kalau rundingan ini gagal, mereka bukan hanya rugi keuntungan, mereka mungkin terpaksa menutup operasi dan memberhentikan pekerja Malaysia.
“Pendekatan Malaysia dalam rundingan ART berasaskan prinsip keterbukaan dan kepentingan jangka panjang nasional, berpaksikan perlindungan bagi kelangsungan syarikat, termasuk PKS (perusahaan kecil dan sederhana) dan rakyat Malaysia yang terlibat dalam pasaran AS,” katanya.
Beliau berkata rundingan itu tidak bermaksud persetujuan mutlak negara terhadap semua syarat yang dikemukakan AS, sebaliknya perjanjian itu menjanjikan ruang untuk Malaysia memastikan peluang berbincang dan berunding sentiasa terbuka agar isu dapat diselesaikan tanpa menjejaskan kepentingan dan kedaulatan negara.
“Perjanjian ART ini bukan cek kosong kepada AS, ia adalah ‘pagar’ yang kita bina, supaya apa-apa tindakan selepas ini mesti melalui rundingan, bukan ugutan unilateral,” katanya sambil menambah hasil rundingan perlu dirujuk kepada kementerian berkenaan untuk mendapat maklum balas seterusnya dan dibincang serta diputuskan Kabinet.
Beliau juga menyifatkan proses rundingan itu amat rumit dan mencabar dalam keadaan Malaysia sedang dikenakan tarif selain tekanan masa.
“Perjanjian tarif timbal balas unilateral ini adalah sesuatu benar-benar unprecedented (tidak pernah berlaku sebelum ini). Kita bukan berunding FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas) biasa yang selalunya mengambil masa bertahun-tahun dengan paling cepat 18 bulan.
“Kita berunding dalam keadaan Malaysia dikenakan tarif. Tekanan masa bukan ditentukan Putrajaya, tapi datang dari Washington. Inilah sebabnya rundingan ini menjadi antara yang terpantas dan paling rumit dalam sejarah rundingan perjanjian perdagangan negara,” katanya.
Tengku Zafrul berkata dunia memerhati bagaimana Malaysia bertindak balas walau dihimpit pelbagai tekanan dan kerajaan terus mencari penyelesaian yang mampu melindungi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Biar dunia lihat bahawa Malaysia di bawah Kerajaan MADANI bukan negara yang tunduk menikus mengikut telunjuk mana-mana kuasa, tetapi negara yang dihormati dan disegani mampu berunding dengan yakin, menjamin kedaulatan negara, mempertahan haknya dan melindungi kepentingan rakyatnya,” katanya.
-- BERNAMA