AM

Johor Terima Kunjungan Khabib November Ini

30/10/2025 05:23 PM

JOHOR BAHRU, 30 Okt (Bernama) -- Johor bakal menerima kunjungan istimewa bekas juara dunia Ultimate Fighting Championship (UFC) bagi kategori lightweight Khabib Nurmagomedov pada November ini. 

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata Majlis Pecah Tanah Khabib Gym Johor, sebuah pusat latihan bertaraf antarabangsa berteraskan pembangunan sukan serta pembentukan sahsiah dan nilai murni turut diadakan pada lawatan berkenaan. 

“Menjunjung kasih Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail atas visi dan kepimpinan Tunku dalam memartabatkan sukan Johor hingga mengangkat negeri ini ke pentas dunia. 

“Inisiatif ini juga melambangkan kerjasama global berimpak tinggi dan tekad Johor untuk muncul sebagai hab sukan serta pembangunan bakat tersohor di rantau ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. 

Onn Hafiz berkata kehadiran jaguh seni bela diri campuran (MMA) itu ke bumi Johor adalah satu penghormatan besar, bukan sahaja kepada dunia sukan tetapi seluruh rakyat Johor yang menjunjung tinggi nilai kecemerlangan, disiplin dan semangat juang tanpa menyerah kalah.

“Marilah kita bersama-sama menantikan detik bersejarah ini. Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai juara dari bumi Johor, yang mampu mengharumkan nama negeri dan negara di pentas dunia. Insya-Allah,” katanya. 

Pada Oktober tahun lepas, Tunku Mahkota Ismail menerima menghadap Khabib dan antara topik perbincangan adalah mengenai program pembangunan belia dan cadangan membuka gimnasium latihan rasmi Khabib di sini. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485282