EKONOMI

Kerangka Insentif Pelaburan Baharu Dilaksanakan Bermula Suku Pertama 2026 - Liew 

30/10/2025 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Kerangka Insentif Pelaburan Baharu (NIIF) akan dilaksanakan sepenuhnya bagi sektor perkilangan bermula suku pertama tahun depan, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) seterusnya akan memperluaskan pelaksanaan NIIF kepada sektor perkhidmatan bermula suku kedua 2026.

"Di bawah Belanjawan 2026, kerajaan komited menawarkan insentif cukai melalui pengenalan NIIF yang berasaskan keberhasilan selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

"NIIF ini bertujuan menambah baik mekanisme penawaran insentif pelaburan sedia ada dengan memberi tumpuan kepada aktiviti bernilai tinggi yang menyumbang kepada kesan limpahan ekonomi," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Liew, fasa ujian rintis pelaksanaan NIIF kini sedang berjalan dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

"Kerajaan melihat bahawa tiada keperluan untuk menyediakan insentif khas atau perlanjutan insentif sedia ada kerana NIIF dirangka dengan lebih menyeluruh, fleksibel dan berasaskan prestasi," katanya.

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485323