AM

RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 Dibentang Bagi Bacaan Kali Pertama

30/10/2025 05:47 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 bagi memperluas perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja yang terlibat dalam kemalangan di luar waktu bekerja dan tidak berkaitan dengan pekerjaan dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim ketika membentangkan RUU itu berkata bacaan kali kedua akan dibuat pada persidangan yang sama.

Menurut naskhah biru, RUU bagi meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) itu mencadangkan pindaan bagi perenggan 15(b), (c), (d) dan (f) Akta 4 berhubung hak individu berinsurans serta tanggungannya untuk menerima faedah apabila ditimpa kemalangan atau bencana.

“Subfasal 5(a) bertujuan meminda perenggan 15(b) bagi memperuntukkan bahawa seseorang orang berinsurans yang mengalami hilang upaya akibat bukan bencana kerja juga berhak kepada faedah hilang upaya.

“Subfasal 5(b) bertujuan meminda perenggan 15 (c) bagi memperuntukkan bahawa orang tanggungan bagi seseorang orang berinsurans yang mati akibat bukan bencana kerja juga berhak kepada faedah orang tanggungan,” menurut naskhah itu.

Subfasal 5(c) pula bertujuan meminda perenggan 15(d) bagi memperuntukkan seseorang orang berinsurans yang mati akibat kemalangan bukan bencana kerja juga berhak kepada faedah pengurusan mayat.

Pindaan berkenaan juga melibatkan perenggan 15(f) yang memperuntukkan bahawa seseorang orang berinsurans yang mengalami hilang upaya akibat bukan bencana kerja juga berhak kepada faedah perubatan.

RUU itu turut mencadangkan pindaan proviso kepada perenggan 22(a) bagi memperuntukkan bahawa seseorang orang berinsurans yang mengalami kemalangan akibat bukan bencana kerja juga berhak kepada faedah hilang upaya sementara melalui bayaran berkala bagi tempoh hilang upaya itu.

Selain itu, RUU tersebut mencadangkan seksyen baharu 44c yang memperuntukkan bahawa seseorang orang berinsurans yang ditentukan oleh pertubuhan mengalami hilang upaya akibat bukan bencana kerja, orang berinsurans itu hendaklah layak kepada semua faedah yang sama yang diterima akibat bencana kerja di bawah akta itu.

“RUU itu turut meminda perenggan 57A(a) bagi memperuntukkan faedah pendidikan dalam bentuk pinjaman atau biasiswa boleh turut disediakan kepada anak tanggungan orang berinsurans yang mati akibat bukan bencana kerja,” menurut naskhah itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485326