SPORTS

Mirabel Muncul Pemain Terbaik Negara Pada Pusingan Pembukaan Golf Maybank LPGA 2025

30/10/2025 07:47 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) --Bintang muda negara Mirabel Ting mempamerkan aksi cenerlang pada pusingan pembukaan Kejohanan Golf Maybank LPGA 1025 pabila mencatat lima bawah par 67, sekali gus berkongsi kedudukan ke-11 bersama 10 pemain lain di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) hari ini.

Pemain berusia 19 tahun dari Miri itu mempamerkan ketenangan dan ketepatan sepanjang pusingan apabila merekodkan enam birdie di lubang satu, tiga, empat, tujuh, 14 dan 18 , dengan hanya satu bogey di lubang keenam dalam saingan Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA).

“Saya bermula dengan baik apabila memperoleh birdie di lubang pertama. Saya hanya mengingatkan diri sendiri supaya terus bersabar — jika pukulan putt masuk, baguslah. Kalau tidak, kekal tenang dan tunggu peluang berikutnya. Itu yang saya lakukan sepanjang pusingan dan saya bermain dengan baik hari ini,” katanya kepada pemberita.

Mirabel, yang baru beralih daripada pemain amatur kepada profesional tahun ini, mengakui tempoh awal sebagai pemain profesional tidak mudah, namun kini semakin selesa menyesuaikan diri dengan cabaran tersebut.

Saya agak bergelut pada awalnya untuk menyesuaikan diri sebagai pemain profesional, tetapi saya sentiasa mengingatkan diri bahawa golf profesional memang sukar. Setiap hari saya hanya cuba menikmati setiap detik di lapangan.

Beliau berkata pendekatannya tahun ini masih sama seperti ketika bergelar pemain amatur, namun dengan keazaman yang lebih tajam untuk mencatat keputusan terbaik.

“Saya juga tidak terlalu memandang kedudukan di papan markah, sebaliknya fokus pada permainan saya sendiri dan lihat sejauh mana ia membawa saya,” katanya.

Mirabel membuat penampilan sulung pada kejohanan bernilai USD3 juta (RM12.6 juta) pada tahun lepas sebagai pemain amatur.

Sementara itu,Liyana Durisic muncul pemain kedua terbaik negara selepas mencatat empat bawah par 68 untuk berkongsi tempat ke-21, manakala Kelly Tan, Ashley Lau dan Genevieve Ling masing-masing mencatat tiga bawah par 69 untuk berkongsi tempat ke-32.

Dalam pada itu, pemain Korea Selatan, Choi Hye Jin mendahului saingan pusingan pertama lapan bawah par 64, kelebihan satu pukulan berbanding dua pencabar terdekat.

 -- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/en/news.php?id=2485403