PASARAN

Niaga Hadapan Emas Ditutup Lebih Rendah

30/10/2025 08:20 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah pada Khamis apabila pedagang dan pelabur mengunci keuntungan susulan keputusan dasar terbaharu Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat, yang dilihat sebagai ‘penurunan agresif’.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata Fed telah melaksanakan pengurangan kadar faedah sebanyak 25 mata asas tetapi memberi isyarat berhati-hati terhadap penurunan selanjutnya, sekali gus mengejutkan beberapa pedagang. 

“Ini menyebabkan harga emas susut daripada melebihi US$4,000 kepada hampir US$3,900 sebelum kembali pulih ketika sesi Asia,” katanya kepada Bernama. 

Kontrak semerta bulan Oktober 2025 ditutup pada US$4,005.8 setiap auns troy, susut daripada US$4,019.7 pada Selasa. Kontrak November 2025 berkurang kepada US$4,022.0 daripada US$4,035.4, dan kontrak Disember 2025 merosot kepada US$4,039.3 daripada US$4,052.7.

Niaga hadapan Januari 2026 menurun kepada US$4,056.3 setiap auns troy daripada US$4,069.7, dengan kontrak Februari, April dan Jun 2026 turut ditutup lebih rendah, berada pada US$4,072.2 berbanding US$4,085.6 sebelumnya. 

Jumlah dagangan merosot kepada 274 lot daripada 470 lot semalam, manakala kepentingan terbuka berkurang kepada 392 kontrak daripada 577. 

Mengikut penetapan London Bullion Market Association, harga emas fizikal berada pada US$4,006.70 setiap auns troy pada 29 Okt, 2025. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485434