PETALING JAYA, 31 Okt (Bernama) -- Ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, dua tahun lepas.
Hakim Dr Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman itu terhadap Ismanira Abdul Manaf, 30, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini, selain menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin warganegara tempatan serta cagaran RM3,000.
Ismanira turut diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam, yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Pada 21 Julai lepas, Hakim Syahliza memerintahkan Ismanira membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap wanita itu manakala suaminya Zaim Ikhwan Zahari, 30, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama.
Pasangan itu didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai hingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam penghakimannya, Hakim Syahliza berkata Akta Kanak-Kanak 2021 tidak memperuntukkan tafsiran atau definisi bagi perkataan '’mengabaikan'” di bawah Seksyen 31(1)(a) akta tersebut.
Dalam hal ini, katanya mahkamah tidak terikat dengan tafsiran dan perspektif psikologi mana-mana organisasi atau pertuduhan sama ada sesuatu tindakan oleh seseorang tertuduh merupakan pengabaian atau tidak kerana ia ditentukan oleh fakta dan keterangan dalam sesuatu kes.
"Setelah mahkamah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan dan pembelaan bersama eksibit yang telah dikemukakan serta mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes ini.
"Dengan ini, mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes ini melampaui keraguaan munasabah terhadap tertuduh. Oleh yang demikian, tertuduh didapati bersalah sebagaimana pertuduhan," kata hakim itu.
Syahliza berkata pihak pembelaan berhujah bahawa tertuduh tidak mengabaikan si mati, Zayn Rayyan, semasa kejadian kerana berjalan di belakang ibunya merupakan rutin harian kanak-kanak itu dan dikatakan sebagai tingkah laku tegar (rigid) yang tidak boleh diubah.
“Namun, mahkamah mendapati pembelaan ini bercanggah dengan keterangan tertuduh sendiri serta saksi pembelaan keempat, Umi Syafiqah Rohizal. Mahkamah juga mendapati bahawa berjalan di belakang tertuduh bukanlah rutin si mati yang tegar dan tidak boleh diubah.
“Berkaitan pembelaan bahawa tertuduh telah mengawasi si mati, mahkamah mendapati pada hari kejadian tertuduh telah membiarkan si mati berjalan di belakangnya tanpa pengawasan sewajarnya, sehingga membawa kepada kehilangan mangsa,” kata hakim itu.
Beliau menambah, keterangan saksi pembelaan kelima, Dr Noor Aisyah Rosli, juga bersifat pendapat dan tidak konklusif kerana penilaiannya terhadap tingkah laku si mati dibuat semata-mata berdasarkan maklumat yang diberikan oleh tertuduh.
Semasa rayuan terhadap hukuman, peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Ismanira memohon agar anak guamnya dikenakan hukuman berbentuk denda, dengan alasan wanita itu mempunyai seorang lagi anak istimewa (autistik) yang memerlukan kasih sayang dan pengawasan daripada ibunya.
“Sepanjang perbicaraan, anak guam saya memberi kerjasama baik kepada pihak polis. Fakta yang perlu diambil kira oleh mahkamah ialah tiada seorang saksi pun menyatakan bahawa tertuduh tidak menyayangi arwah Zayn Rayyan. Malah, semua saksi mengakui tertuduh seorang ibu yang penyayang.
“Jika mahkamah menjatuhkan hukuman penjara, ia tidak sesuai dengan keadaan khas anak keduanya yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya sambil menambah bahawa pelaku sebenar yang membunuh Zayn Rayyan masih belum dibawa ke muka pengadilan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin berkata hukuman denda tidak sesuai dikenakan dalam kes ini.
“Tindakan tertuduh adalah di luar norma seorang ibu apabila membiarkan si mati berjalan sendirian tanpa pemerhatian sehingga membawa kepada kematian kanak-kanak itu.
“Oleh itu, mahkamah wajar menjatuhkan hukuman pemenjaraan yang panjang sebagai pengajaran kepada masyarakat agar kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya yang dibantu oleh TPR Nur Sabrina Zubairi.
Pada prosiding hari ini, Haresh turut dibantu peguam Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
-- BERNAMA