AM

SPM: JPN Perak Ambil Langkah Persediaan Kemungkinan Banjir - Exco

31/10/2025 04:53 PM

SERI ISKANDAR, 31 Okt (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak bersiap sedia sepenuhnya menghadapi sebarang kemungkinan banjir bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 berjalan lancar.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Khairudin Abu Hanipah berkata persediaan itu dilakukan seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) dengan taklimat berkaitan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan calon SPM ketika bencana telah dilakukan JPN awal bulan ini.

"SOP itu telah disediakan sejak beberapa tahun lepas dan kini hanya perlu dipastikan tahap pematuhannya agar semua calon dapat menduduki peperiksaan mengikut jadual ditetapkan.

"Taklimat ini disampaikan kepada semua pihak berkaitan termasuk pengetua, setiausaha peperiksaan, polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan komitmen semua agensi dapat digembleng untuk membantu calon ke pusat peperiksaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Youth Smart Money Fest di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar di sini hari ini.

Sementara itu, Khairudin berkata golongan belia diseru memperkukuh kebijaksanaan kewangan bagi menghadapi cabaran ekonomi semasa serta mengelak daripada terjerat dengan skim pelaburan tidak berlesen yang menjanjikan keuntungan segera.

Beliau berkata dalam dunia yang semakin kompleks dan pantas berubah, kemahiran mengurus kewangan bukan lagi pengetahuan tambahan tetapi satu keperluan asas kehidupan.

“Kebijaksanaan kewangan tidak bergantung kepada jumlah wang yang dimiliki, tetapi cara kita mengurus dan memanfaatkannya. Pelbagai bentuk pelaburan dan tawaran kewangan kini hanya di hujung jari, ada yang sahih dan ada juga yang menjerat jadi belajarlah membezakan antara keperluan dan kehendak," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri komited membangunkan rakyat berdaya tahan dari segi ekonomi, sosial dan nilai dengan tumpuan besar kepada golongan muda yang menjadi penentu kestabilan ekonomi negeri.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485744