AM

China Sokong Pembentukan Kod Tatakelakuan Laut China Selatan – Khaled

31/10/2025 09:16 PM

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- China mengulangi sokongan padunya terhadap usaha mewujudkan Kod Tatakelakuan (CoC) Laut China Selatan, sekali gus menzahirkan komitmennya untuk memastikan kestabilan, keamanan dan kemakmuran bersama yang berkekalan di rantau ini, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata pendirian itu disampaikan oleh Menteri Pertahanan Negara China Laksamana Dong Jun, semasa majlis makan tengah hari tidak rasmi antara ASEAN dan China, yang diadakan di luar sesi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus, di sini.

“Laksamana Dong menyatakan dengan jelas bahawa China menyokong pembentukan CoC bagi Laut China Selatan, dan kita amat mengalu-alukan perkara itu. Seperti yang anda sedia maklum, Kementerian Luar kini mengetuai usaha untuk memastikan kod tersebut dapat direalisasikan,” katanya pada sidang media harian ADMM di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata CoC yang dicadangkan bagi Laut China Selatan, dilihat sebagai rangka kerja yang mengikat dari segi undang-undang, bertujuan untuk memelihara keamanan serantau, mengurus pertindihan tuntutan wilayah, serta mengelakkan potensi konflik antara negara yang menuntut, termasuk Filipina.

Beliau berkata ASEAN dan China sama-sama menegaskan komitmen untuk memperkukuh perkongsian ASEAN-China, dengan menekankan bahawa kerjasama berterusan amat penting bagi mengekalkan rantau Asia Tenggara yang selamat, stabil dan makmur untuk semua negara anggotanya.

Beliau menambah bahawa ASEAN melihat China bukan sahaja sebagai rakan utama, tetapi juga sebagai pemangkin penting kepada kemakmuran global, yang bertanggungjawab dalam memupuk keamanan, keselamatan dan pertumbuhan ekonomi di rantau ini.

“Dalam dialog kami, saya menegaskan bahawa usaha China mencapai kemakmuran harus seiring dengan keamanan dan kestabilan. Sebagai sebuah kuasa besar, adalah menjadi tanggungjawab China untuk menegakkan undang-undang antarabangsa dan mengelak sebarang tindakan yang boleh mencetuskan konflik,” katanya.

Mohamed Khaled berkata ASEAN berharap China akan terus memainkan peranan yang konstruktif dan bertanggungjawab dalam mengekalkan keamanan serta kestabilan serantau, di samping menghormati kedaulatan negara jiran dan memperkukuh kerjasama antara negara-negara serantau.

Perbincangan tidak rasmi itu merupakan sebahagian daripada siri dialog yang diadakan bersempena ADMM ke-19 dan ADMM-Plus ke-12, yang dijadual berlangsung sehingga 2 Nov.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata Malaysia terus memantau kehadiran kapal asing di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara.

“Memang sentiasa ada kapal berada di ZEE. Kami menguruskan keadaan itu sama ada melalui nota diplomatik atau cara tersendiri. Setakat ini, kami dapat menanganinya dengan berkesan, jadi tidak perlu terlalu bimbang.

“Dari segi pertahanan, kita sedang membangunkan perjanjian latihan dua hala dan perolehan peralatan. Kehadiran kapal China tidak menjejaskan hubungan ketenteraan antara kedua-dua negara,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485864