KOTA BHARU, 31 Okt (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meletakkan semua aset miliknya dalam keadaan siap siaga sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan) APM Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata sebanyak 1,121 aset air, 789 aset darat dan 23 dron telah dipersiapkan bagi memastikan pegawai serta anggota agensi itu dapat menjalankan tugas secara optimum sepanjang tempoh monsun.
Beliau berkata agensi itu turut memperoleh 30 unit ambulans dan 50 kenderaan pacuan empat roda melalui perolehan baharu bagi memperkukuh keupayaan logistik dalam melaksanakan misi menyelamat mangsa banjir di seluruh negara.
“Sebahagian aset kami sudah lama serta tidak sesuai digunakan untuk operasi banjir dengan aset-aset berkenaan sedang dinaik taraf,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus APM Bersama Media di sini hari ini.
Beliau berkata pada dua tahun lepas, APM menerima 100 buah ambulans dan 46 kenderaan pacuan empat roda, manakala tahun ini sebanyak 30 ambulans dan 50 kenderaan pacuan empat roda telah diluluskan melalui kaedah pajakan.
“Bagi tahun hadapan, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), APM turut diperuntukkan dana untuk menambah lebih banyak ambulans serta beberapa aset darat lain,” katanya.
Sementara itu, Ismail berkata APM bersedia mengerahkan anggotanya ke semua pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Kelantan, termasuk 20 PPS baharu yang akan dibuka sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi kemungkinan banjir luar jangka.
Beliau berkata penambahan PPS itu dibuat berdasarkan keputusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan mangsa banjir dapat ditempatkan dengan lebih teratur dan selamat.
Ismail berkata APM tidak berdepan cabaran besar dari segi pengagihan tenaga kerja di PPS kerana agensi itu disokong oleh sejumlah besar sukarelawan terlatih yang digerakkan setiap tahun.
“Sebahagian besar kekuatan kami datang daripada sukarelawan memandangkan jumlah anggota tetap adalah terhad. Setiap tahun, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM140 juta bagi bayaran elaun kontrak perkhidmatan kepada anggota ini.
“Pengarah negeri mempunyai kuasa untuk menugaskan anggota berdasarkan keperluan semasa,” katanya.
Ismail berkata walaupun penubuhan PPS baharu mungkin menambah beban tugas, anggota APM sudah bersedia menanganinya berikutan pengalaman sebelum ini.
-- BERNAMA