KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Acara sukan dan pertandingan fotografi yang diadakan sempena SD Guthrie (Guthrie) Carey Heritage baru-baru ini berjaya menyerlahkan keindahan dan keunikan sebenar Pulau Carey kepada dunia luar.
Daripada kayuhan pantas pelumba basikal, derap langkah pelari hingga bidikan tenang jurugambar merakam kehidupan burung yang sukar ditemui, membuktikan Pulau Carey ‘penuh’ tenaga, budaya, dan keindahan semula jadi.
Acara tersebut bukan sahaja menyemarakkan lagi Bulan Sukan Negara yang disambut pada setiap Oktober, malah menonjolkan kekayaan warisan dan daya tarikan ekologi pulau tersebut.
Pengarah Urusan Kumpulan Guthrie Datuk Mohamad Helmy Othman Basha dalam kenyataan hari ini berkata acara itu bukan sahaja memperlihatkan daya tahan para atlet tetapi juga keindahan dan kekayaan budaya di Pulau Carey.
“Cuaca sangat baik, segalanya berjalan lancar dan kebanyakan peserta memberikan maklum balas positif kerana acara tahun ini telah dianjurkan dengan sempurna, termasuk ‘pit stop’, papan tanda dan arah panduan yang jelas,” katanya.
“Mereka teruja apabila mengetahui Pulau Carey hanya 40 hingga 45 minit dari Kuala Lumpur dan menawarkan keindahan alam semula jadi yang menakjubkan,” katanya sambil menambah acara yang dianjurkan seiring dengan Oktober sebagai Bulan Sukan Negara.
Acara Kayuhan Carey Heritage, yang baru sahaja berlangsung menghimpunkan lebih 160 peminat sukan berbasikal, dengan 18 peserta meredah laluan sejauh 20 kilometer (km), 92 peserta menakluki cabaran 45 km, dan 52 peserta menempuh laluan mencabar sejauh 100 km.
Acara tersebut akan diteruskan dengan Kayuhan Carey 2026 dijangka diadakan pada Februari ini dan dibuka kepada orang awam dengan yuran penyertaan yang minimum.
Sementara itu, Mohamad Helmy berkata Guthrie menggalakkan pekerjanya, rakan-rakan dan keluarga untuk kekal aktif dengan mengambil bahagian dalam aktiviti luar, termasuk berbasikal, berjoging, bermain tenis, atau bola tampar.
“Dua minggu lepas, kami menganjurkan Larian Carey dan maklum balas yang diterima amat menggalakkan,” katanya menambah Guthrie akan menganjurkan acara kayuhan setiap dua bulan.
Sebelum ini, Larian Carey Heritage yang diadakan pada 12 Okt telah menarik lebih 1,100 peserta termasuk pekerja Guthrie dan orang awam, untuk sama-sama menikmati landskap Pulau Carey yang menghijau.
Acara larian itu menampilkan 12 kategori iaitu sejauh 21, 10, dan 5 km untuk lelaki, wanita, lelaki veteran, dan wanita veteran.
Semasa larian tersebut, Ahli Lembaga Pengarah Guthrie Jenifer Thien dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Shahrizan Aini Shamsul Khalil melakar kejayaan dengan masing-masing merangkul tempat kedua dan ketiga bagi kategori 10 km Wanita Veteran.
Larian tersebut diadakan selepas kejayaan Pertandingan Fotografi Burung Carey Heritage, yang berlangsung pada hujung minggu sebelumnya, dengan para pencinta alam semula jadi berjaya mendokumentasikan 65 spesies burung secara terperinci sekali gus membuktikan kekayaan biodiversiti Pulau Carey, yang reputasinya kian meningkat sebagai destinasi ekopelancongan dan pemuliharaan.
Daripada 65 spesies burung yang dikesan minggu lepas, 34 daripadanya adalah spesies baharu dikenal pasti pada hujung minggu, menjadikan keseluruhan kira-kira 100 spesies dikesan.
-- BERNAMA