DUNIA

Sidang Kemuncak APEC Labuhkan Tirai Ketika Pemimpin Berusaha Capai Kata Sepakat

01/11/2025 09:01 AM

GYEONGJU, 1 Nov (Bernama-Yonhap) -- Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dijangka berakhir Sabtu selepas berlangsungnya pelbagai rundingan diplomatik berprofil tinggi, dengan tumpuan diberikan kepada usaha pemimpin ekonomi utama mencapai kata sepakat mengenai perdagangan bebas dan multilateralisme, lapor Agensi Berita Yonhap.

Sidang kemuncak dua hari yang menghimpunkan 21 anggota APEC bersama pertubuhan antarabangsa itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonomi dan merangsang pertumbuhan di tengah ketidaktentuan yang berpunca daripada peningkatan dasar perlindungan perdagangan.

Forum APEC tahun ini berlangsung di tengah perang dagangan berterusan antara Amerika Syarikat dan China, dengan Washington memperkecilkan peranan perdagangan bebas di bawah dasar “America First”, manakala Beijing mengambil alih peranan yang dahulunya diterajui AS sebagai penyokong utama perdagangan bebas.

Pada sidang kemuncak APEC Jumaat, Presiden China Xi Jinping menyeru supaya sistem perdagangan pelbagai hala dipertahankan dan mencadangkan pembentukan “Komuniti Asia-Pasifik” dalam menghadapi ketidaktentuan global yang semakin meningkat.

Korea Selatan menjadi tuan rumah sesi kedua sidang kemuncak APEC, dengan harapan dapat menghasilkan keputusan yang dipersetujui semua peserta melalui pengisytiharan bersama yang dikenali sebagai “Deklarasi Gyeongju”, selain mengetengahkan inisiatifnya sendiri termasuk kecerdasan buatan dan perubahan demografi.

Para pemimpin APEC membincangkan cadangan agenda yang dibawa daripada mesyuarat menteri sebelum ini mengenai usaha memajukan kemakmuran rantau Asia-Pasifik melalui langkah seperti memperkukuh kerjasama dalam rantaian bekalan dan peralihan digital.

Tumpuan turut diberikan kepada sejauh mana pemimpin dapat mencapai persetujuan mengenai hala tuju perdagangan antarabangsa memandangkan wujud perbezaan pandangan terhadap sistem perdagangan bebas global yang berasaskan multilateralisme dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Sebahagian besar ekonomi APEC sebelum ini menyokong sistem perdagangan bebas berasaskan WTO dalam pengisytiharan bersama mereka dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Antara 2021 hingga 2024, semua deklarasi sidang kemuncak APEC menyebut tentang sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan dengan WTO “sebagai terasnya”.

Deklarasi pemimpin hanya boleh diterima pakai melalui kata sepakat, dengan sokongan setiap anggota APEC.

Satu kenyataan berasingan daripada Mesyuarat Menteri APEC juga akan dikeluarkan, merangkumi usaha memperluas kerjasama dalam pelbagai sektor.

Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung akan mempengerusikan sesi terakhir sidang kemuncak dan seterusnya menyertai pemimpin lain serta tetamu bagi sesi bergambar beramai-ramai.

Lee kemudian akan mengadakan sidang media bagi menjelaskan hasil sidang kemuncak itu.

Selepas sidang berakhir, Lee dijadual mengadakan mesyuarat dua hala pertamanya dengan Xi dan akan disusuli dengan jamuan makan malam.

-- BERNAMA-YONHAP



 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485930