AM

Resolusi Parlimen Belia Akan Dibawa Ke Parlimen Sebenar - Speaker Dewan Rakyat

05/11/2025 01:39 PM

BANGI, 5 Nov (Bernama) -- Sebarang keputusan dan resolusi dibuat dalam Parlimen Belia Malaysia tidak akan dibiarkan begitu sahaja, sebaliknya akan diangkat dan dibawa ke peringkat Parlimen sebenar melalui Jawatankuasa Pilihan, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan pandangan dan idea dibangkitkan wakil Parlimen Belia, dapat diterjemahkan kepada cadangan dasar dan perbincangan sebenar di Dewan Rakyat.

“Apa juga keputusan yang diputuskan mereka akan dibawa ke dalam Parlimen sebenar melalui Jawatankuasa Pilihan. Maknanya idea-idea mereka tidak dilupai,” katanya.

Johari berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Town Hall Parlimen Belia Malaysia yang menghimpunkan kira-kira 250 pemimpin pelajar daripada universiti awam, universiti swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), di sini hari ini.

Program yang memperkenalkan format baharu Parlimen Belia selepas diletakkan di bawah Parlimen Malaysia itu, katanya berperanan sebagai “inkubator” bagi melatih pemimpin muda berusia antara 18 dan 30 tahun, agar memahami matlamat kepimpinan serta tanggungjawab terhadap masyarakat.

“Antara pembaharuan yang diperkenalkan termasuk latihan kolaborasi melalui pembentukan tujuh parti simulasi serta pendedahan kepada sistem pilihan raya perwakilan berkadar, bagi menggantikan pendekatan yang berpusat kepada individu,” katanya.

Johari berkata pendedahan awal kepada sistem politik dan nilai kepimpinan penting bagi memastikan golongan muda dibentuk pada landasan yang tepat, ke arah melahirkan pemimpin masa depan yang berwibawa.

"Kalau kita tidak buat begini, saya rasa kita tidak akan mencapai cita-cita menjadi sebuah negara gemilang pada masa depan. Negara lain telah melakukannya tetapi kita agak terkebelakang,” katanya.

Beliau berharap program itu juga diharap dapat meningkatkan kefahaman belia terhadap proses demokrasi negara, memandangkan objektif asal Parlimen Belia ketika diwujudkan pada 2014 agak terhad.

“…dengan sokongan dana kerajaan, kita berharap mereka yang datang ke Parlimen Belia sekarang mendapat ilmu baharu, kerana kefahaman mereka tentang proses demokrasi sebelum ini agak minimal. Jadi sekarang kita naik tarafkan supaya ada peningkatan pendedahan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487346