RENCANA

Kemelut Pendidikan: MADANI Sebagai Penyelesaian

06/11/2025 10:00 AM

Berita-berita kurang enak tentang pelajar dan sekolah sejak akhir-akhir ini mengundang persoalan apakah silap dalam sistem persekolahan sekarang sehinggakan keruntuhan moral dilihat berleluasa - bukan hanya di luar sekolah tetapi juga dalam perkarangan institusi suci itu.

Sepatutnya menjadi pembimbing yang membentuk sahsiah anak-anak agar menjadi pemimpin yang seimbang dari segi rohani dan jasmani di masa depan, institusi sekolah kini dibelenggu pelbagai isu negatif seperti buli, rogol dan keganasan sehingga meragut nyawa.       

Jika dahulu insiden sebegini dilihat sebagai terpencil, kini rata-rata pakar sosial menyifatkan isu tersebut sebagai cerminan kerosakan sistem yang telah lama membusuk di akarnya.

Justeru, sekadar tindakan reaktif seperti menghukum pelajar terlibat bukan lagi penyelesaian efektif, sebaliknya perlu satu pendekatan yang dapat merawat secara sistemik, dan menurut pakar sains sosial Prof Dr Zainal Abidin Sanusi, gagasan MADANI jawapan terbaik kepada permasalahan tersebut.

 

PENINGKATAN KES 

Statistik Kementerian Pendidikan menunjukkan peningkatan ketara kes buli dalam tempoh empat tahun sejak 2021, daripada hanya 326 kes pada tahun berkenaan melonjak 10 kali ganda kepada 3,887 pada tahun berikutnya dan meningkat hampir sekali ganda kepada  6,528 pada 2023, dan naik lagi kepada 7,681 kes pada 2024.

Namun, paling membimbangkan apabila kes buli tidak lagi terhad di asrama dan sekolah menengah, kerana di sekolah rendah juga insiden tersebut dilaporkan meningkat. Antara kes yang menjadi tumpuan umum ialah kematian seorang murid tahun empat di Senawang, Negeri Sembilan yang dipercayai turut berpunca daripada kejadian buli. Kemudian, di Shah Alam, Selangor, seorang murid tahun satu dimasukkan ke hospital selepas dikatakan dibelasah oleh dua orang murid tahun tiga di kantin sekolah.


Gagasan MADANI perlu dijadikan asas kepada transformasi pendidikan yang sebenar dan bukan sekadar slogan.

Turut menjadi tumpuan umum ialah kes empat pelajar didakwa merogol secara bergilir-gilir seorang pelajar perempuan yang dikatakan berlaku di dalam kelas di Melaka, dan terakhir, paling mengejutkan, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun menikam sehingga mati pelajar perempuan berusia 16 tahun di dalam tandas di sebuah sekolah di Petaling Jaya, Selangor.

Mengulas permasalahan itu, Zainal Abidin yang juga Pengarah Pusat Sejahtera untuk Kelestarian dan Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata situasi tersebut mencerminkan keruntuhan nilai asas seperti kasih sayang, kepercayaan dan tanggungjawab sosial.  

“Kesemua aspek ini ditekankan dalam konsep MADANI yang menjadi teras Kerajaan MADANI,” kata pensyarah di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani UIAM itu kepada Bernama.

Gagasan MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diilhamkan daripada konsep kerajaan Madinah, di mana Rasulullah SAW menyatukan pelbagai bangsa melalui Piagam Madinah.

Konsep MADANI Malaysia bertunjangkan enam teras utama termasuk Kesejahteraan yang bertujuan menjaga keseimbangan jasmani dan rohani rakyat; Hormat yang menekankan maruah dan hak asasi manusia melalui rasa hormat-menghormati; dan Ihsan, iaitu menerapkan sikap prihatin dan empati dalam urusan seharian. 

 

SISTEM TERLALU AKADEMIK

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata sistem pendidikan Malaysia telah terperangkap terlalu lama dalam paradigma akademik semata-mata sehingga mengabaikan aspek kemanusiaan dan pembentukan sahsiah pelajar.

“Sekolah tidak lagi menjadi tempat selamat untuk pelajar ‘membesar’ sebagai manusia, sebaliknya mencerminkan keruntuhan nilai dan kecacatan sistem yang mengukur kejayaan hanya melalui keputusan peperiksaan,” ujarnya.


Kejayaan pendidikan MADANI bergantung pada sinergi semua pihak termasuk pemimpin politik, penjawat awam, guru, ibu bapa dan pelajar.

Menurutnya, sistem sedemikian menyebabkan pelajar tertekan dengan budaya peperiksaan sementara kreativiti dan empati kian terhakis dalam perlumbaan mengejar kecemerlangan akademik.

Tambah memburukkan, guru pula kian terbeban dengan tugas pentadbiran, membuatkan mereka hilang fokus daripada tugas hakiki, iaitu mendidik anak bangsa.

“Kita mungkin berjaya melahirkan pelajar yang pandai tetapi gagal membentuk insan beradab. Sekolah akhirnya menjadi kilang mencetak sijil, bukan taman membina manusia,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan wujud persekitaran yang mengekang “kebenaran” di sekolah, di mana guru yang jujur dianggap bermasalah dan murid yang melaporkan isu disiplin pula dipersalahkan demi menjaga imej sekolah.

 

MADANI SEBAGAI ASAS PEMBAHARUAN

Bagi mengatasi krisis moral pelajar sekolah, Zainal Abidin menegaskan gagasan MADANI perlu dijadikan asas kepada transformasi pendidikan yang sebenar dan bukan sekadar slogan.

“Pendidikan MADANI bukan hanya ta’lim (pengajaran) atau tarbiyyah (pembentukan), tetapi ta’dib, iaitu pendidikan adab yang berteraskan ilmu dan amal. Fokusnya ialah membina karakter, bukan sekadar melahirkan tenaga kerja,” katanya.


Nilai ihsan, hormat, harmoni dan kesejahteraan perlu diinstitusikan dalam dasar, kurikulum dan budaya sekolah.

Jelas beliau, tonggak dalam konsep MADANI selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menekankan keseimbangan antara jasmani, emosi, rohani dan intelek, serta seiring dengan agenda UNESCO iaitu Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) yang memberi tumpuan kepada pembentukan insan berakhlak dan bertanggungjawab terhadap diri, masyarakat dan alam sekitar.

Beliau berpendapat nilai ihsan, hormat, harmoni dan kesejahteraan perlu diinstitusikan dalam dasar, kurikulum dan budaya sekolah termasuk melalui pembelajaran berasaskan komuniti, aktiviti kesukarelawanan serta program perpaduan antara kaum dan agama.

“Apabila nilai MADANI diterapkan dalam sistem, sekolah akan kembali menjadi ruang untuk mendidik pelajar menjadi ‘manusia’,” katanya.

 

KEPIMPINAN PENDIDIKAN PERLU REFLEKTIF DAN BERJIWA INSAN

 

Bagaimanapun menurut Zainal Abidin, pelaksanaan nilai MADANI tidak akan berjaya tanpa kepimpinan yang reflektif dan berjiwa insan.

“Kepimpinan pendidikan bukan sekadar mengurus krisis, tetapi mentafsir makna di sebalik setiap tragedi untuk membina pemulihan yang lebih mendalam. Ini menuntut kebijaksanaan strategik yang berpaksikan empati kemanusiaan,” katanya.

Beliau turut menyarankan reformasi dalam pelantikan kepimpinan pendidikan dengan mencontohi negara seperti Finland yang memilih pemimpin dalam kalangan pendidik berpengalaman, bukan berdasarkan pertimbangan politik.

“Apabila pendidikan dijadikan ruang pengaruh, fokusnya beralih daripada membina manusia kepada mengurus persepsi. Kepimpinan pendidikan mesti berpaksikan merit, integriti dan kefahaman pedagogi,” katanya.

 

PENDIDIKAN MADANI UNTUK MASA DEPAN

 

Zainal Abidin juga menegaskan masa depan pendidikan negara bergantung pada keberanian politik dan kesediaan institusi untuk menembusi “bureaupathology” iaitu penyakit birokrasi yang menyekat perubahan.

Walaupun gagasan MADANI sudah dilancarkan, beliau berpandangan pelaksanaannya masih bersifat fragmentari, iaitu tidak menyeluruh.

“Rakyat hanya melihat inisiatif kecil seperti Jualan Rahmah atau BUDI MADANI, tanpa memahami falsafah besar di sebaliknya. Justeru, usaha menjadikan MADANI sebagai agenda utama pembangunan bangsa harus terus diperhebat,” tegas beliau.

Beliau turut menekankan bahawa kejayaan pendidikan MADANI bergantung pada sinergi semua pihak termasuk pemimpin politik, penjawat awam, guru, ibu bapa dan pelajar.

“Pemimpin serta pentadbir sekolah perlu menterjemah nilai MADANI dalam dasar sekolah melalui pelaksanaan dasari antibuli, program bimbingan dan aktiviti komuniti. Guru pula mesti menzahirkan nilai ihsan dan amanah dalam tindakan, manakala ibu bapa harus menjadi model nilai yang sama di rumah.

“Pelajar sendiri mesti sedar peranan mereka sebagai pembawa nilai... menghormati rakan dan menjaga kesejahteraan bersama,” katanya.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berpandangan pembangunan negara tidak boleh hanya diukur melalui angka ekonomi atau kemajuan teknologi.

“Tanpa asas nilai kemanusiaan, negara akan rapuh dalam menghadapi krisis sosial, perpecahan kaum dan kehilangan identiti bangsa,” katanya yang yakin gagasan MADANI menawarkan kerangka menyeluruh untuk mengisi kekosongan itu, dengan meletakkan nilai ihsan, harmoni dan kesejahteraan sebagai teras pembinaan negara dan generasi masa depan, jika dilaksanakan secara bersungguh-sungguh.

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487643