AM

Beberapa Laluan WCE Ditutup Sementara Sempena Klang Royal City Marathon Ahad Ini

06/11/2025 02:56 PM

SHAH ALAM, 6 Nov (Bernama) -- Beberapa laluan utama di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) akan ditutup sementara bermula dari Persimpangan Bandar Bukit Raja Selatan hingga Persimpangan Assam Jawa bagi memberi laluan kepada penganjuran Klang Royal City Marathon 2025 pada Ahad ini.

WCE dalam kenyataan memaklumkan penutupan berkenaan akan berkuat kuasa dari pukul 10 malam, 8 Nov hingga 8 pagi keesokannya (9 Nov).

Penutupan dan lencongan juga akan dilaksanakan di beberapa laluan utama melibatkan susur masuk ke WCE dari Lebuhraya Grand Sepadu; susur masuk ke WCE dari Jalan Meru; susur masuk ke WCE dari Persiaran Hamzah Alang; susur masuk ke WCE dari Lebuhraya LATAR dan susur masuk ke WCE dari Jalan Kuala Selangor.

Pengguna jalan raya disaran merancang perjalanan lebih awal serta mematuhi papan tanda dan arahan petugas di lokasi bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan semua pihak.

Untuk maklumat lanjut atau bantuan, orang ramai boleh menghubungi talian infoline WCE di 1700-81-6600.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487769