AM

PTP Berpotensi Masuk Kelompok 10 Pelabuhan Tersibuk Dunia - Loke

06/11/2025 03:24 PM

PUTRAJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor berpotensi memasuki kelompok 10 pelabuhan paling sibuk di dunia dalam masa terdekat, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata potensi itu didorong oleh keputusan syarikat logistik berpangkalan di Denmark Maersk yang menjadikan PTP sebagai pelabuhan hab pemindahan utama mereka di Asia.

“Ranking PTP memang semakin meningkat dan pertumbuhan pengendalian kontena mereka meningkat lebih 10 peratus, dengan Maersk telah menjadikan PTP sebagai global hab mereka. Jadi, semua kapal Maersk berlabuh ataupun membuat pertukaran di PTP.

“Itu yang menjadikan PTP ini sebagai satu pemindahan hab yang utama untuk syarikat Maersk Line. Ini akan menyumbang kepada pertumbuhan seterusnya PTP dan kami yakin PTP ini akan terus meningkat dan boleh sampai 10 terbaik tidak lama lagi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Deepavali Kementerian Pengangkutan di sini hari ini. 

Mengikut rekod Lloyd’s List 2024, PTP mengekalkan kedudukan ke-15 bagi 2023 dan 2024, di samping mencatatkan lonjakan pengendalian kontena kepada 12.25 juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) pada 2024 iaitu peningkatan 16.9 peratus daripada 10.48 juta TEU pada 2023.

PTP baru-baru ini telah disenaraikan oleh Alphaliner sebagai pelabuhan yang paling pesat berkembang di dunia dengan kadar pertumbuhan 15.4 peratus pada separuh pertama 2025 dan mengendalikan lebih 1.2 juta TEU secara bulanan pada waktu puncak tanpa kesesakan.

Pencapaian itu menunjukkan selain Pelabuhan Klang yang menembusi kedudukan 10 teratas dunia pada 2024, PTP turut memainkan peranan penting dalam industri perkapalan global, mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab maritim yang penting.

Semalam, Maersk melancarkan Pusat Pengedaran Mega Maersk (DC) iaitu fasiliti logistik kontrak terbesarnya di Asia Pasifik, sekali gus memperluas lebih 30 peratus gudang penyimpanan mereka di Malaysia.

Operasi kemudahan seluas kira-kira 80,000 meter persegi itu turut dijangka menarik minat pelabur dalam sektor seperti aeroangkasa, elektronik dan runcit yang sedang diterajui kerajaan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487805