EKONOMI

Malaysia Sasar Jualan RM3 Bilion Di MIHAS@Shanghai - Ahmad Zahid

06/11/2025 03:31 PM

Daripada Mohd Hisham Abdul Rafar

SHANGHAI, 6 Nov (Bernama) -- Malaysia meningkatkan sasaran jualan kepada RM3 bilion daripada unjuran awal RM2.5 bilion yang dijana daripada acara Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS)@Shanghai di China, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata ini juga berasaskan daripada maklum balas positif kalangan pembeli premium serta pempamer yang disifatkan sebagai memaparkan keyakinan kukuh terhadap ekosistem halal Malaysia.

“Kita menjangkakan jualan ini mampu melebihi (sasaran) RM3 bilion menerusi 20 pembeli premium yang bukan setakat pemborong tetapi juga merupakan pembeli produk-produk Malaysia.

“Saya yakin sasaran ini mampu dicapai menerusi komitmen usaha Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan MIHAS@Shanghai yang diadakan bersempena penganjuran Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad serta Konsul Jeneral Mohd Shahafeez Shaharis.

Mengulas selanjutnya, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia berkata insiatif itu hanya membuktikan kepentingan peranan Malaysia yang terus ketara sebagai rakan dipercayai dalam bidang perdagangan halal dan inovasi.

“Acara ini memaparkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam industri halal menerusi platform seperti Program Penyumberan Antarabangsa. Kita komited untuk mentransformasi misi perniagaan kepada kerjasama jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata peningkatan angka sasaran jualan baharu itu juga seiring usaha Malaysia untuk menumpukan selain produk makanan dan minuman (F&B), sejajar tindakan negara peserta lain yang berjaya memaparkan inovasi F&B, termasuk produk elekrik dan elekronik serta penyelesaian teknologi maju.

“Bagi saya, Malaysia juga mampu melakukan perkara sama. Dalam tempoh dua tahun akan datang, saya berharap MATRADE dapat mengumpulkan lebih banyak pempamer perniagaan dengan produk yang dibangunkan menerusi penyelidikan universiti dan kerjasama industri, seterusnya mengubah prototaip kepada pengkomersialan produk terbabit,” katanya.

Ahmad Zahid turut menekankan kekuatan Malaysia dalam instrumen kewangan hijau seperti perbankan dan insurans berasaskan Islam yang kian mendapat sambutan, tidak hanya di Eropah malah di Amerika Utara serta China.

“China turut menunjukkan peningkatan ketara dalam instrumen kewangan Islam seperti sukuk. Malaysia telah berjaya menjadi perintis ini di peringkat global yang menyaksikan Hong Kong sebagai antara hab serantau,” katanya.

Industri halal Malaysia, kata Ahmad Zahid, turut disokong oleh 14 taman perindustrian halal di tiga negeri yang menghasilkan pelbagai produk termasuk gelatin halal, malah kerajaan juga sedang mengambil langkah susulan untuk memperkukuh tadbir urus sektor berkenaan.

“Jemaah Menteri telah bersetuju secara prinsip untuk menaik taraf Halal Development Corporation menjadi Suruhanjaya Pembangunan Halal. Suruhanjaya ini bukan sahaja mengendalikan aspek pensijilan, tetapi juga menerajui pembangunan keseluruhan industri halal,” katanya.

Terdahulu ketika berucap, Ahmad Zahid menyifatkan MIHAS@Shanghai sebagai pencapaian penting dalam usaha berterusan Malaysia mempromosi produk serta perkhidmatan halal selain memperkukuh hubungan ekonomi dan budaya dengan China serta rantau Asia Timur secara meluas.

“China telah lama berubah menjadi sebuah negara yang menerima perdagangan global dan ini dapat dilihat menerusi pembukaan berterusan pasarannya kepada pedagang dan pelabur asing selain menjadi anjakan dalam tumpuan pengguna ke arah gaya hidup sihat dan keterjaminan makanan.

“Menerusi langkah sebagai tuan rumah MIHAS di sini, kita memberi peluang strategik kepada syarikat-syarikat Malaysia, terutama perusahaan kecil dan sederhana untuk memenuhi permintaan kerana mendapat akses secara langsung kepada pembeli serta rakan yang terbabit dalam aspek khusus ini di serata China dan rantau Asia Timur yang lebih luas,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata kedudukan Shanghai sebagai gerbang inovasi dan perdagangan global, turut memberi kelebihan strategik kepada perniagaan Malaysia untuk menembusi pasaran Asia Timur berkenaan.

Ahmad Zahid kini dalam rangka lawatan kerja selama empat hari ke Shanghai atas jemputan kerajaan Republik Rakyat China untuk menghadiri CIIE di National Exhibition and Convention Centre.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487807