SHAH ALAM, 6 Nov (Bernama) -- Projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) Astrum Shah Alam yang mencapai kadar jualan 98 peratus hanya dalam tempoh setahun selepas dilancarkan, membuktikan permintaan tinggi terhadap kediaman yang menekankan ketersambungan dan kemudahan gaya hidup moden di kawasan bandar.
Terletak hanya 100 meter dari Stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Dato’ Menteri di Seksyen 14 di sini, projek bercampur oleh Setia Awan Group itu antara pembangunan pertama di kawasan berkenaan yang memperkenalkan konsep kediaman bersepadu dan berhubung terus dengan sistem pengangkutan awam, pusat pentadbiran dan komersial di bandar raya ini.
Ketua Pegawai Operasi (Projek) Setia Awan Group Eric Chew berkata kejayaan itu menunjukkan perubahan ketara dalam corak pembelian rumah, khususnya dalam kalangan generasi muda dan profesional bandar yang mengutamakan akses mudah ke transit awam serta kemudahan seharian.
“Pembeli hari ini mahukan gaya hidup yang terhubung, dengan kemudahan dan komuniti yang terancang dalam rutin harian mereka.
“Kejayaan Astrum Shah Alam mencerminkan gaya hidup bandar baharu iaitu kediaman berhampiran transit bukan sahaja praktikal, malah menjadi aspirasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Astrum Shah Alam menampilkan lebih daripada 50 kemudahan gaya hidup termasuk kolam renang sepanjang 50 meter, ruang kerja bersama, pawagam luar, taman Zen, gelanggang futsal dan deretan komersial 14th Avenue yang menawarkan pelbagai pilihan menjamu selera, membeli-belah serta perkhidmatan harian.
Projek itu terdiri daripada tiga menara kediaman iaitu Metro, Horizon dan Apex dengan setiap unit berkeluasan antara 570 hingga 1,065 kaki persegi, masing-masing direka dengan dua bilik tidur dan dua bilik air bagi memenuhi keperluan keluarga moden dan pembeli rumah pertama.
Dengan kedudukan berhampiran pusat pentadbiran, hospital, universiti serta laluan utama seperti Lebuhraya Persekutuan, KESAS, NKVE dan ELITE, Astrum Shah Alam turut menarik minat mereka yang bekerja di sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur.
Bagi meraikan kejayaan dan ulang tahun pertamanya, Setia Awan Group baru-baru ini menganjurkan sambutan bertemakan Jepun di Galeri Jualan Sena Residences di Shah Alam, yang turut menghimpunkan pemilik rumah, rakan kongsi dan keluarga dalam suasana meriah.
Susulan sambutan menggalakkan terhadap Astrum Shah Alam, Setia Awan Group kini sedia melancarkan projek jiran baharu, Sena Residences pada Disember ini, sekali gus meneruskan komitmen syarikat dalam membangunkan komuniti bersepadu berasaskan konsep TOD.
Eric berkata pembangunan Astrum Shah Alam membuktikan projek TOD yang dirancang dengan baik bukan sekadar menawarkan akses tetapi menambah nilai kepada kehidupan dan interaksi masyarakat.
“Kami berbangga menjadi antara yang pertama memperkenalkan konsep ini di Seksyen 14 pada tahap harga yang mampu milik, dan yakin ia akan menjadi pemangkin pertumbuhan kejiranan serta mentakrifkan semula gaya hidup bandar di Shah Alam,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi di www.astrumshahalam.com.
-- BERNAMA