AM

Lebih RM180 Juta Diperuntuk Perkukuh Pembangunan Islam Di Kelantan

06/11/2025 05:12 PM

KOTA BHARU, 6 Nov (Bernama) -- Kerajaan Kelantan memperuntukkan RM181.71 juta bagi memperkukuh pembangunan Islam, pendidikan dan modal insan di negeri berkenaan.

Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata ia bukti komitmen kerajaan negeri dengan penuh istiqamah terus menjadikan agama Islam sebagai dasar dan tunjang utama pentadbiran.

“Peruntukan ini merangkumi institusi utama seperti Yayasan Islam Kelantan, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dan Institut Latihan Darul Naim dengan jumlah peruntukan RM150.77 juta dan sebuah lagi Maahad Tahfiz bakal dibangunkan di Kuala Krai bermula 2026.

“Kerajaan negeri juga, terus memberikan perhatian kepada pembinaan dan pembaikan masjid, pembangunan pondok, tahfiz dan madrasah dengan peruntukan RM9 juta, manakala RM10.2 juta untuk pendidikan dan pembelajaran di seluruh negeri Kelantan termasuk Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif itu bertujuan memastikan setiap pelajar terpilih, tanpa mengira latar belakang mendapat akses kepada pendidikan percuma yang berkualiti.

Mohd Nassuruddin berkata sebanyak RM2.55 juta diperuntukkan bagi melaksanakan Program Pembangunan Kompetensi Sektor Awam untuk meningkatkan kecekapan dan budaya kerja berprestasi tinggi dalam kalangan penjawat awam negeri.

Beliau berkata kerajaan negeri telah mengambil langkah serius antaranya menangani gejala sosial dengan memperuntukkan RM3.05 juta bertujuan memperkukuh pendidikan akhlak dan sahsiah dalam kalangan generasi muda serta mengekang penularan gejala sosial,” katanya.

Sementara itu, sejumlah RM81.77 juta diperuntukkan kepada usaha memperkukuh keterjaminan makanan untuk rakyat serta memastikan kemampanan ekonomi negeri.

Menurut Mohd Nassuruddin, bagi tujuan pembelaan rakyat pula sebanyak RM58.32 juta diperuntukkan untuk 180 unit Rumah Dhuafa iaitu pertambahan 45 unit berbanding tahun sebelumnya dan sebanyak 45 unit rumah kos rendah akan diberi secara percuma kepada rakyat. 

“Kerajaan turut menzahirkan komitmen yang tinggi dalam melindungi golongan rentan melalui Skim Bantuan Bulanan Al Musa’adah kepada lebih 7,000 penerima setiap bulan, khususnya masyarakat miskin, armalah, anak yatim, orang kurang upaya dan individu berkeperluan khas, manakala Skim Al-It’am menyediakan bantuan makanan asas secara bulanan kepada 13,620 penerima,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487880