KUALA LUMPUR, Nov 6 (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Jabatan Wilayah Persekutuan, serta agensi penggalakan pelaburan di wilayah tengah Semenanjung Malaysia, sedang bersiap sedia untuk menganjurkan aktiviti utama Program Wilayah Tengah 2025.
Program itu bertujuan untuk mengukuhkan integrasi rantaian bekalan, hubungan serantau dan memperkasakan industri tempatan bagi meningkatkan rantaian nilai di wilayah tengah yang terdiri daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.
MIDA dalam satu kenyataan hari ini berkata program bertemakan “Menginovasi Industri, Menghubungkan Pasaran” itu akan berlangsung dari 11-12 November 2025, di Royale Chulan Kuala Lumpur.
Acara itu bakal disertai sehingga 1,000 wakil kanan daripada industri terkemuka, dewan perniagaan dan agensi kerajaan untuk merangka fasa pertumbuhan perindustrian serantau yang seterusnya.
Menurut MIDA, program tersebut berfungsi sebagai platform kolaboratif untuk merangsang pelaburan berkualiti, memacu inovasi dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan yang berdaya saing dan mampan di ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata program itu meneguhkan komitmen agensi tersebut untuk memajukan transformasi perindustrian Malaysia melalui ekosistem serantau yang lebih kukuh.
“Wilayah tengah kekal sebagai hab penting bagi pemusatan inovasi, bakat dan infrastruktur — memacu pelaburan mampan yang sejajar dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030,” katanya.
MIDA berkata program dua hari itu akan dimulakan dengan pelancaran peringkat tinggi dan sesi perbincangan santai untuk menyorot peluang pertumbuhan di wilayah tengah, terutamanya dalam empat industri keutamaan: elektrik dan elektronik, aeroangkasa, farmaseutikal dan pembuatan makanan.
“Ini akan diikuti dengan sesi interaktif mengenai pengukuhan ekosistem rantaian bekalan Malaysia dan memajukan transformasi digital.
"Sejajar dengan ini, aktiviti seperti Klinik Perniagaan MCMC akan menawarkan syarikat penglibatan langsung dengan pengendali rangkaian mudah alih untuk meneroka penyelesaian 5G dan aplikasi industri pintar," katanya.
Program Wilayah Tengah 2025 mengalu-alukan pemain industri dan komuniti perniagaan yang ingin meneroka kerjasama baharu dan mendapatkan pandangan tentang landskap perindustrian Malaysia yang sedang berkembang.
MIDA berkata wilayah tengah, yang merangkumi koridor Malaysia yang sangat dinamik, menyumbang hampir separuh daripada keluaran dalam negara kasar Malaysia dan menjadi tumpuan industri utama, termasuk elektronik, automotif, logistik dan teknologi digital.
-- BERNAMA