DUNIA

Media Main Peranan Proaktif Dalam Pembinaan Komuniti ASEAN - Mohamad

06/11/2025 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Media memainkan peranan penting dan proaktif dalam pembinaan Komuniti ASEAN dengan meningkatkan kesedaran awam terhadap blok itu serta memupuk kefahaman yang lebih mendalam dalam kalangan rakyatnya, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad berkata melalui liputan berita, organisasi media membantu menangkis maklumat salah, membina kepercayaan dan menjadi penghubung penting antara hasil dasar ASEAN dengan rakyat yang terkesan olehnya.

“Peranan anda bukanlah pasif; sebaliknya proaktif. Anda menyediakan platform penting untuk meningkatkan kesedaran mengenai ASEAN dan memupuk kefahaman yang lebih mendalam. Dengan itu, anda berkesan menangkis maklumat salah dan membina kepercayaan,” katanya dalam ucapan khas pada Forum Media ASEAN ke-9 di sini, Khamis.

Ucapan Menteri Luar dibacakan oleh Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Datuk Zanariah Zainal Abidin.

Seiring perkembangan teknologi, Mohamad berkata organisasi media perlu memastikan keterangkuman digital dan menumpukan kepada naratif berpaksikan rakyat yang menjamin capaian meluas, termasuk ke kawasan luar bandar dan komuniti kurang mendapat liputan, sambil memastikan setiap suara diwakili dalam kisah ASEAN.

“Selain daripada statistik penting perdagangan dan infrastruktur, media kita juga harus menonjolkan kisah-kisah kemanusiaan – persahabatan, kerjasama belia dan daya tahan – yang sebenarnya menjadi asas kepada perkongsian yang berkekalan,” tambahnya.

 Mohamad menambah bahawa Malaysia bersedia untuk memudah cara dialog berterusan dan memanfaatkan potensi media untuk membawa faedah kepada rantau ini serta mempromosikan sumbangan konstruktif ASEAN kepada pembangunan global.

Anjuran Sekretariat ASEAN dengan kerjasama Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, forum itu berfungsi sebagai platform dialog terbuka antara ASEAN dan media di seluruh rantau ini.

Dilancarkan di Manila pada 4 Ogos 2017 sempena sambutan ulang tahun ke-50 ASEAN, forum itu bertujuan memupuk persefahaman bersama dan memperkukuh kerjasama dalam mempromosikan Komuniti ASEAN.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487923