PASARAN

Pasaran Getah Ditutup Tinggi Susulan Pengukuhan Harga Minyak

06/11/2025 06:19 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia meningkat ketika mengakhiri urus niaga hari ini, disokong oleh pengukuhan harga minyak serta peningkatan dagangan Bursa Niaga Hadapan Shanghai, kata peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran turut dipacu oleh sentimen optimis berkaitan langkah-langkah rangsangan yang dilaksanakan oleh China.

“Bagaimanapun, peningkatan seterusnya telah dikekang oleh ketidaktentuan ketara berkaitan dasar tarif Amerika Syarikat (AS) serta jangkaan kelemahan data ekonomi China,” katanya kepada Bernama.

Peniaga berkata peningkatan harga minyak pada masa ini adalah susulan kebimbangan berlakunya lebihan bekalan yang telah mereda, sekali gus mengatasi paras terendah dalam dua minggu pada sesi sebelumnya akibat kelemahan permintaan.

Beliau berkata ketidaktentuan tarif di AS terus mempengaruhi unjuran permintaan ketika cabaran undang-undang itu berisiko mengubah trajektori perhubungan dagangan AS-China selain menjejaskan rantaian bekalan dan harga di peringkat global.

“Pertumbuhan eksport China juga dijangka lebih suram pada Oktober apabila pesanan luar negara berkurangan susulan aktiviti penghantaran awal sebelum ini bagi menangani tarif yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump,” katanya.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Getah Mutu Malaysia atau SMR20 naik 11.5 sen kepada 727.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal menokok 2.5 sen kepada 570 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2487941