KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Fashionably Modest Asia (FMA) 2025 akan berlangsung dari 18 hingga 20 Nov ini di Pavilion Arena, Pavilion Damansara Heights di sini, sebagai sebuah platform memperkasakan dan meraikan kepelbagaian serta keanggunan fesyen santun di seluruh ASEAN.
Diasaskan atas kepercayaan bahawa gaya sejati berasal daripada keselesaan, keyakinan dan ekspresi budaya, FMA 2025 menonjolkan busana santun sebagai simbol kekuatan dalam kelembutan serta identiti moden wanita masa kini.
Penasihat Gaya Hidup FMA Andrew Tan berkata acara itu direka untuk memperlihatkan bagaimana budaya, seni dan fesyen dapat wujud secara harmoni dalam dunia masa kini.
Beliau berkata setiap pereka yang diketengahkan tahun ini mewakili satu bab baharu dalam cara fesyen santun dizahirkan - bukan sebagai tiruan tetapi selaku pembebasan dan ekspresi diri.
“Melalui koleksi mereka, kita dapat melihat keyakinan, penceritaan budaya dan kesederhanaan sebagai lambang kekuatan. Fashionably Modest Asia diwujudkan bagi membuka ruang perbincangan, memperkenalkan estetika baharu serta membuktikan bahawa fesyen sopan juga boleh menonjol, progresif dan menarik seperti mana-mana trend global,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan semasa pelancaran FMA 2025 baru-baru ini.
pic-2
Tan berkata industri fesyen moden kini berkembang pada kadar luar biasa dan tidak lagi ditentukan oleh geografi tetapi oleh sikap.
“Dari Asia Tenggara ke Eropah, dari benua Amerika hingga ke Timur Tengah, fesyen telah berkembang daripada identiti peribadi kepada pengaruh umum. Fesyen kini menjadi perbualan global yang berkisar tentang pilihan, keselesaan dan kebanggaan budaya.
“Dalam evolusi itu, Asia mempunyai suara yang luar biasa, muda, pelbagai dan sangat kreatif. Platform ini berfungsi sebagai ‘jambatan’ yang menghubungkan kreativiti dengan peluang, daripada hasil pertukangan tempatan kepada minat antarabangsa,” katanya.
pic-3
Beliau turut menyatakan kerjasama antara FMA dan jenama kecantikan Wardah akan mengukuhkan lagi usaha memperkenalkan bakat Asia Tenggara ke pentas global khususnya di Timur Tengah, sambil memelihara keindahan dialog budaya.
“Fesyen santun ialah tentang keseimbangan antara keterlihatan dan keperibadian, antara ekspresi diri dan rasa hormat. Ia mengingatkan kita bahawa fesyen boleh menzahirkan kekuatan tanpa perlu meninggi suara dan menampilkan keanggunan tanpa paksaan,” kata Tan, yang menggambarkan acara ini sebagai permulaan satu gerakan yang berakar pada kreativiti, kerendahan hati dan keaslian.
Acara ini akan dimulakan dengan pertunjukan pilihan khas jurugaya terkenal Min Luna, menampilkan rekaan daripada label fesyen tempatan seperti TACT, Ezzati Amira, Hasz Hishaam, Shaz Nash, Afiq M, Bev C, SVG, Huntilanak dan Behati.
FMA 2925 juga akan mengetengahkan kerjasama rentas budaya melalui penyertaan pereka serantau termasuk Na Forrér dari Brunei, Chris Nick (Filipina), Khaar (Vietnam) serta Benang Jarum dari Indonesia, mencerminkan komitmen yang semakin kukuh terhadap fesyen lestari dan inklusif di seluruh rantau ini.
pic-4
Sebagai rakan rasmi bagi solekan dan kecantikan, Wardah akan menerajui sesi perbincangan kecantikan dan pemerkasaan wanita melalui inisiatifnya The Season Within: Redefining Beauty, di samping pelancaran rangkaian terbaharunya Colorfit yang menampilkan duta jenama Mira Filzah.
Sementara itu, Mira Filzah, 32, menyifatkan fesyen santun sebagai satu bentuk ekspresi diri yang menonjolkan kesopanan, keyakinan dan kekuatan wanita moden tanpa perlu berlebih-lebihan dalam gaya serta percaya bahawa kesederhanaan tidak menghalang seseorang untuk tampil bergaya.
“Bagi saya, modest bukan bermaksud perlu menutup keseluruhan tubuh secara ketat atau formal. Ia boleh ditunjukkan melalui gaya ringkas seperti jaket besar, potongan longgar dan padanan fabrik yang sopan tetapi tetap moden,” katanya.
Pelakon drama bersiri Mandul Bukan Pilihan itu berkata fesyen santun kini bukan sekadar trend tetapi melambangkan perubahan cara wanita mengekspresikan keperibadian mereka dalam ruang budaya dan sosial.
-- BERNAMA