HAMILTON, 7 Nov (Bernama-Anadolu) -- Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Khamis meluluskan satu draf resolusi bagi mengeluarkan Presiden Syria Ahmed al-Sharaa dan Menteri Dalam Negeri Anas Khattab daripada senarai sekatan ISIS/Daesh dan al-Qaeda, lapor Anadolu Ajansi.
Resolusi yang digubal oleh Amerika Syarikat itu menerima 14 undi, dengan China berkecuali.
Utusan AS ke PBB Mike Waltz menyambut baik kelulusan itu. “Dengan kelulusan teks ini, Majlis menghantar isyarat politik yang kuat bahawa Syria kini memasuki era baharu,” katanya. “Pengeluaran nama Presiden al-Sharaa dan Menteri Dalam Negeri Khattab daripada senarai sekatan akan membantu memberikan peluang terbaik kepada rakyat Syria.”
Utusan China Fu Cong berhujah bahawa resolusi itu gagal menangani “kebimbangan sah semua pihak.”
“Penyokong resolusi ini tidak mengambil kira pandangan semua anggota dan memaksa Majlis bertindak walaupun wujud perbezaan besar antara negara anggota, demi memenuhi agenda politiknya sendiri,” kata Fu, merujuk kepada AS.
“China bersedia bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk terus memainkan peranan konstruktif dalam mencapai keselamatan, kestabilan dan pembangunan di Syria seawal mungkin,” tambahnya.
Utusan Rusia ke PBB Vassily Nebenzia menegaskan bahawa “resolusi ini menegaskan semula komitmen Majlis Keselamatan terhadap kedaulatan, kemerdekaan, perpaduan dan keutuhan wilayah Republik Arab Syria.”
“Kami menjangka prinsip asas ini akan dipatuhi oleh semua anggota masyarakat antarabangsa, termasuk Israel, yang terus bertindak mengikut kehendak sendiri dan menduduki sebahagian wilayah berdaulat Syria, termasuk Bukit Golan,” katanya.
Bashar al-Assad, yang memerintah Syria hampir suku abad, melarikan diri ke Rusia pada 8 Dis 2024, menandakan berakhirnya pemerintahan panjang Parti Baath yang bermula sejak 1963.
Al-Sharaa, yang mengetuai pasukan anti-regim yang menumbangkan Assad, diisytiharkan sebagai presiden bagi tempoh peralihan pada akhir Januari. Beliau berikrar untuk membangunkan semula negara itu dan memulihkan kestabilan.
-- BERNAMA-ANADOLU