AM

NACS Pacu Transformasi Tadbir Urus Negara

07/11/2025 11:30 AM

PUTRAJAYA, 7 Nov (Bernama) – Usaha Malaysia memerangi rasuah terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 yang dilihat membawa perubahan besar terhadap landskap tatakelola negara.

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, NACS bukan sekadar dokumen dasar, sebaliknya pelan tindakan menyeluruh yang menuntut komitmen seluruh institusi untuk memperkukuh integriti dan memulihkan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara.

 

“NACS adalah kerangka menyeluruh yang direka untuk mencegah rasuah sebelum ia berlaku, mendidik rakyat dan melibatkan setiap segmen masyarakat. Ia mewakili visi kita untuk Malaysia yang bebas rasuah, tinggi integriti dan dihormati di peringkat global,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Perasmian Persidangan NACS Edisi Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sarawak, di sini semalam.

 

Menurutnya, sejak NACS dilancarkan Perdana Menteri pada tahun lalu, sebanyak 20 substrategi telah berjaya dilaksanakan setakat Oktober 2025 melibatkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

 

Antara inisiatif utama yang telah direalisasikan termasuk penggubalan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia oleh Kementerian Dalam Negeri; pelaksanaan kursus integriti dan antirasuah di universiti oleh Kementerian Pendidikan Tinggi serta pembangunan kit etika dan nilai murni di sekolah oleh Kementerian Pendidikan.

 

SPRM melalui Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) juga telah membangunkan dua papan pemuka iaitu r-NACS untuk pemantauan dalaman antara agensi dan d-NACS, platform awam yang memaparkan kemajuan substrategi serta reformasi yang telah dilaksanakan.

 

Matlamat jangka panjang NACS, katanya, adalah untuk menempatkan Malaysia dalam kelompok 25 negara terbaik dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033. 

 

Persidangan sehari itu adalah anjuran Sekolah Pembangunan Pendidikan Profesional dan Eksekutif (SPEED), Asia e University (AeU) dan Sarawak Business Event Association (SBE) dengan kerjasama SPRM serta Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS). 

 

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato Murshid Diraja Datuk Dr Juanda Jaya dalam ucapan perasmiannya berkata, Kerajaan Sarawak mengambil serius isu integriti bukan hanya sebagai slogan tetapi sebagai budaya pentadbiran.

 

Beliau berkata, dalam usaha memperkukuh integriti kewangan dan ketelusan, Kerajaan Sarawak turut menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet (CABCOM) bagi menyemak dan menganalisis anggaran belanjawan serta penyata kewangan oleh Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan. 

 

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong kerjasama erat dengan SPRM dalam memperkukuh usaha pencegahan rasuah di semua peringkat dan menambah baik pelaksanaan program integriti bagi memastikan nilai menolak rasuah diterapkan sehingga ke akar umbi,” katanya. 

 

Turut hadir Presiden dan Pengasas AeU, Prof Datuk Dr Ansary Ahmed, Pengarah Kanan BPGN SPRM, Datuk Idris Zaharudin dan Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Hasbilah Mohamad Salleh.

 

— BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2488130