GEORGE TOWN, 8 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang dengan acara utama merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD).
Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual menghadiri majlis berkenaan di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Bukit Mertajam pada 9 pagi menyempurnakan majlis pecah tanah yang dijangka memberi manfaat kepada 200,000 pengguna harian melalui pengurangan kesesakan di laluan terbabit.
Projek PTJSD merupakan antara inisiatif utama bagi Pulau Pinang dan utara Semenanjung yang diumumkan Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt tahun lepas, selain projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) serta pembangunan Taman Perindustrian Batu Kawan 3.
Perdana Menteri kemudiannya akan melawat Galeri Karyawan Nordin Ahmad di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir dan merasmikan Masjid MADANI Arowana Permatang Pauh dekat sini, sebelum menghadiri Program Komunivesiti Kolaboratif di kampung beliau, Kampung Cherok Tok Kun.
Anwar dijangka mengakhiri lawatan kerja ke Pulau Mutiara dengan majlis pelancaran Pusat Transformasi Bandar (UTC) Seberang Perai di Bangunan Penang Sentral, Butterworth yang juga UTC ke-24 di Malaysia dan kedua di Pulau Pinang selepas UTC Komtar.
UTC Seberang Perai turut tersenarai sebagai satu daripada inisiatif diumumkan Anwar untuk Pulau Pinang dalam belanjawan tahun ini, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh perkhidmatan awam di peringkat komuniti bandar.
Anwar tiba di LTAPP di Bayan Lepas malam tadi, disambut Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail serta pimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang.
-- BERNAMA