PASARAN

Pasaran Getah Dijangka Diniagakan Dalam Jajaran Kecil Minggu Depan

08/11/2025 10:40 AM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Pasaran getah dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan berikutan petunjuk global yang bercampur-campur yang terus mempengaruhi sentimen, menurut Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

Ia berkata walaupun pasaran disokong oleh prestasi ekonomi ASEAN yang lebih kukuh, disokong oleh data Amerika Syarikat (AS) yang optimistik dan keyakinan terhadap rangsangan tambahan dari China, dasar tarif AS yang berterusan masih menjejaskan prospek permintaan.

“Pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dan kenaikan harga minyak mentah turut mempengaruhi harga getah dan pergerakan minggu depan dijangka dipacu oleh niaga hadapan getah serantau dan keadaan cuaca,” kata persatuan itu kepada Bernama.

Sementara itu, pakar industri Denis Low berkata ketidaktentuan global khususnya di Eropah terus menekan pasaran komoditi.

“Tarif dan sekatan yang dikenakan oleh AS telah melemahkan sentimen dan menyebabkan perniagaan lebih berhati-hati, manakala cara Eropah mengurus pelaburan dan perdagangan secara terlalu tegas, bersama-sama perang Ukraine yang berterusan akan memperlahankan ekonomi Eropah dan seterusnya dunia.

“Dengan ketidaktentuan itu, permintaan dan harga komoditi sudah tentu akan terjejas pada tahap tertentu dan kita mungkin akan melihat permintaan yang lebih perlahan dengan harga kekal mendatar atau sedikit rendah minggu depan,” katanya.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) susut 11 sen kepada 720.00 sen sekilogram, manakala lateks pukal meningkat sebanyak 4.5 sen kepada 570 sen sekilogram.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2488420