Daripada Mohd Hisham Abdul Rafar
SHANGHAI, 8 Nov (Bernama) -- Lawatan kerja empat hari Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Shanghai berakhir dengan kejayaan dalam mengukuhkan lagi diplomasi ekonomi, perdagangan halal dan kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia-China.
Misi berkenaan menghasilkan pelbagai kejayaan termasuk jumlah jualan RM1.24 bilion direkodkan pada MIHAS@Shanghai 2025 dalam tempoh tiga hari pertama sejak 5 Nov, selain penandatanganan beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) strategik antara agensi dan syarikat Malaysia dengan pemain industri di China.
Antara pencapaian utama ialah MoU antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan Universiti Shanghai Jiao Tong (SJTU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan dan kebudayaan antara dua negara.
Matlamat utama MoU itu ialah mewujudkan kerjasama strategik dalam pembangunan akademik, penyelidikan dan pembangunan kapasiti selaras dengan agenda pendidikan global MARA.
Ahmad Zahid berkata MARA berhasrat memanfaatkan kepakaran SJTU dalam bidang kejuruteraan, kecerdasan buatan (AI), sains komputer, perubatan dan pengajian maritim melalui cadangan penubuhan Jawatankuasa Penasihat Teknikal yang memfokuskan analisis data, teknologi hijau dan pengkomersialan penyelidikan menerusi seminar bersama, latihan profesional serta program penandaarasan.
Selain itu, Malaysia juga melancarkan Pusat Informasi CIDB Holdings (CIDBH) di Shanghai untuk mengukuhkan pematuhan piawaian, ketelusan dan kepercayaan dalam hubungan perdagangan Malaysia-China, terutamanya bagi sektor pembinaan, serta perancangan sedang dijalankan untuk penubuhan Pusat Informasi CIDB yang seterusnya di Beijing.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk memastikan pensijilan peringkat huluan yang telus bagi produk import selaras dengan piawaian kualiti dan integriti kebangsaan.
Penyertaan Malaysia di Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) kelapan yang disempurnakan Perdana Menteri China Li Qiang, juga akan membolehkan produk dari Malaysia terus menembusi pasaran global.
Pada lawatan kerja yang bermula dari 4 hingga 7 Nov itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara turut mengumumkan 2,500 penempatan baharu TVET di China tahun depan, selain turut merasmikan Guangqi Institute sebagai hab latihan bersama yang menumpukan kepada bidang semikonduktor dan elektronik lanjutan.
Pada tahun lepas, sebanyak 5,125 tempat ditawarkan kepada belia Malaysia untuk menjalani latihan TVET di institusi dan industri terkemuka China.
Ahmad Zahid turut melancarkan Malaysia-China TVET Industry-Education Alliance (MC-IEA) yang memperkukuh kerjasama institusi dan industri dua negara melalui pendekatan Train-Intern-Job Placement. Nilai co-funding peralatan latihan di bawah inisiatif ini mencecah RM10 juta, melibatkan 15 institusi TVET China.
Antara sektor yang terlibat ialah rel transit oleh China Railway State Asset Management Co Ltd, e-dagang dan logistik oleh SF Express, keselamatan siber oleh Hangzhou Anheng Information Technology Co Ltd, serta turut disertai oleh Huawei Technologies Co Ltd, Chery Automobile Co Ltd, dan Isoftstone Information Technology (Group) Co Ltd.
Sementara itu, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Port Klang Free Zone (PKFZ) masing-masing berjaya memperkukuh jaringan perdagangan dan logistik dua hala, bagi memperluas pasaran dan pelaburan Malaysia di rantau itu.
Ahmad Zahid optimis semua program yang dihadiri beliau pada lawatan kerja di China akan memberikan manfaat besar kepada negara serta rakyat.
China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, dengan nilai dagangan Malaysia-China mencapai RM484.12 bilion pada 2024, menyumbang 16.8 peratus daripada nilai perdagangan global Malaysia sebanyak RM2.879 trilion.
Dalam sektor halal, Malaysia mencatat eksport halal bernilai RM61.79 bilion pada 2024, mewakili peningkatan 15 peratus dari tahun sebelumnya.
China juga destinasi eksport halal kedua terbesar Malaysia, dengan jumlah nilai eksport sebanyak RM7.04 bilion pada 2024.
-- BERNAMA