JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Maut Ditembak Di Stesen Minyak

08/11/2025 01:35 PM

‎SHAH ALAM, 8 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki warga tempatan maut dalam kejadian tembak di sebuah stesen minyak di sekitar kawasan Bukit Tinggi, Klang malam tadi.

‎Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kejadian kira-kira 11 malam itu melibatkan seorang suspek yang melepaskan beberapa das tembakan ke arah hadapan kereta dan terkena di bahagian hadapan mangsa berusia 34 tahun.

‎"Polis menerima maklumat daripada orang awam yang melaporkan ada kejadian tembak di sebuah stesen minyak dalam kawasan Klang Selatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

‎Shazeli dalam kenyataan sama memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah ASP Aminuddin Mahadi di talian 013-2104006 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222.

‎Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

‎Terdahulu, tular rakaman video yang memaparkan seorang lelaki dalam keadaan cedera dipercayai akibat ditembak, sedang diusung oleh petugas kesihatan untuk mendapatkan rawatan.

‎-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2488485