KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Kedutaan Azerbaijan di Malaysia meraikan Hari Kemenangan dan Hari Bendera Kebangsaan, iaitu dua sambutan paling bermakna bagi negara itu yang melambangkan perpaduan, kedaulatan dan semangat kebangsaan dalam satu majlis pada petang Jumaat.
Hari Kemenangan disambut setiap tahun pada 8 Nov bagi memperingati pembebasan bandar Shusha, ibu kota budaya Azerbaijan oleh Angkatan Tentera Azerbaijan pada 2020 selepas hampir 29 tahun berada di bawah pendudukan Armenia.
Sementara itu, Hari Bendera Kebangsaan diraikan setiap tahun pada 9 Nov sejak 2009 bagi memperingati pengiktirafan rasmi bendera tiga warna Azerbaijan, sebagai lambang sejarah negara itu daripada kemerdekaan menuju pembentukan negara berdaulat, ketahanan dan pembaharuan.
Duta Azerbaijan ke Malaysia Irfan Davudov, dalam ucapannya menyifatkan kedua-dua peristiwa itu sebagai “bersejarah dan amat penting dalam sejarah Azerbaijan moden.”
Mengulas perkembangan semasa, beliau menyatakan keyakinan terhadap proses damai dengan Armenia, sambil memaklumkan bahawa pada 13 Mac 2025, kedua-dua negara bersetuju mengenai terma utama perjanjian damai dan pada 8 Ogos 2025 menandatangani Deklarasi Bersama mengenai Hubungan Masa Depan di Washington D.C., dengan Amerika Syarikat bertindak sebagai perantara.
Beliau berkata, perjanjian itu bersama cadangan pembangunan koridor pengangkutan “Trump Route for International Peace and Prosperity (TRIPP)” yang menghubungkan tanah besar Azerbaijan dengan Republik Autonomi Nakhchivan, menandakan “era baharu kerjasama, keamanan dan pembangunan serantau.”
Duta itu turut merakamkan penghargaan kepada negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) termasuk Malaysia atas solidariti mereka sepanjang perjuangan Azerbaijan menegakkan kedaulatan negara.
-- BERNAMA