DUNIA

Kemboja Laksana Dasar Ekonomi Tempatan Untuk Kurangkan Import

08/11/2025 03:13 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 8 Nov (Bernama) -- Kemboja kini melaksanakan transformasi ekonomi besar-besaran untuk memperkukuh keupayaan sendiri dengan mempromosikan produk tempatan yang dikenali sebagai “Khmer Products” bagi mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import.

Dasar utama negara itu tertumpu kepada membina keyakinan ekonomi, memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta memanfaatkan kelebihan demografi untuk meningkatkan keterjaminan makanan, khususnya dalam sektor barangan pengguna yang bergerak pantas.

Strategi itu semakin mendapat momentum selepas pintu sempadan antara Kemboja dan Thailand kekal ditutup sejak tercetusnya konflik sempadan pada Julai lalu, menyebabkan kadar import dari negara jiran itu menurun dengan ketara.

“Ia menyuntik kesedaran kepada kita. Selama ini kita banyak bergantung kepada import dari Thailand. Kini masa terbaik untuk memperkukuh kebergantungan ekonomi sendiri dan menyokong produk serta PKS tempatan,” kata Penyelidik Sosioekonomi bebas yang berpangkalan di Phnom Penh, Dr Chey Tech kepada Bernama.

Pameran “Khmer Products Exhibition 2025” yang diadakan dua kali di ibu negara baru-baru ini mempamerkan ratusan produk tempatan, sekali gus mengukuhkan strategi kepelbagaian ekonomi negara.

Menurut data kerajaan, kira-kira 750,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana beroperasi di Kemboja dengan hampir tiga juta tenaga kerja dan 60 peratus daripadanya diusahakan oleh wanita.

Kemboja juga menikmati  manfaat daripada struktur demografinya, dengan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada 17 juta penduduknya berusia bawah 30 tahun.

“Ia perkembangan positif bagi PKS yang sebelum ini terjejas akibat pandemik COVID-19.

"Kini mereka boleh  mengembangkan pasaran dengan modal dan teknologi mencukupi untuk pengeluaran dalam dan luar negara,” kata Tech.

Tema “Khmer Can Do It” terus menyemarakkan semangat komuniti perniagaan untuk berdikari dan menyokong pengeluaran tempatan.

“Kebanyakan barangan habis dijual sepanjang pameran itu, membuktikan rakyat Kemboja bersedia menyokong produk tempatan, malah lebih ramai pelabur tempatan mula terlibat dalam sektor pembuatan,” kata Tech.

Pameran pertama Produk Khmer diadakan pada akhir September dan disusuli satu lagi pameran pada minggu ini berikutan sambutan menggalakkan.

Bank Pembangunan Asia (ADB) menjangkakan ekonomi Kemboja berkembang sebanyak 4.9 peratus tahun ini, disemak semula daripada unjuran awal 6.1 peratus berikutan tarif Amerika Syarikat sebanyak 19 peratus ke atas barangan negara itu serta ketegangan sempadan berterusan dengan Thailand.

“PKS kita masih berkembang dalam keadaan ini. Sektor perindustrian kekal menjadi penyumbang utama berikutan permintaan tinggi terhadap pakaian, kasut, barangan perjalanan, basikal dan produk elektronik,” kata Tech.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2488509