POLITIK

Rombakan Kabinet: Amanah Hormati Prerogatif Perdana Menteri - Mohamad Sabu

08/11/2025 03:20 PM

‎SHAH ALAM, 8 Nov (Bernama) -- Parti Amanah Negara (Amanah) menghormati prerogatif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam urusan menyusun Kabinet kerajaan susulan ura-ura rombakan bakal dilaksanakan. 

‎‎Presidennya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pihaknya tidak berhasrat untuk menamakan mana-mana ahli parlimennya untuk diketengahkan sebaliknya menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada kebijaksanaan Perdana Menteri. 

‎‎"Kabinet ini adalah hak Perdana Menteri yang kita panggil prerogatif, beliau boleh ambil orang politik, orang profesional atau orang dalam parti, atau luar parti, itu terserah kepada Perdana Menteri.

‎‎“Untuk Amanah, kita terima sahaja keputusan yang dibuat kerana yang penting kita kena jaga serta kuatkan pasukan untuk hadapi pilihan raya akan datang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Nasional Amanah 2025 di sini hari ini. 

‎‎Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata setakat ini tiada perbincangan dilakukan dengan Perdana Menteri berhubung perkara itu. 

‎‎Spekulasi mengenai rombakan Kabinet kembali menjadi tumpuan susulan beberapa menteri dan timbalan menteri berstatus Senator dijangka menamatkan penggal perkhidmatan mereka pada awal bulan hadapan. 

‎‎Antaranya ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. 

Malah, Anwar ketika ditemui media selepas majlis penutup Festival Idea Putrajaya (FOI) semalam, sempat berseloroh meminta mereka mengemukakan barisan Kabinet baharu.

‎‎‎"Tolong bagi cadangan kalau ada … kat saya tak apa,” kata beliau.

‎-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2488513