JOHOR BAHRU, 8 Nov (Bernama) -- Tourism Malaysia memanfaatkan edisi kelima Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia pada 7 hingga 9 Nov ini untuk menganjurkan sesi perniagaan-ke-perniagaan (B2B), bertujuan mengukuhkan pelancongan rentas sempadan dan mempamerkan kepelbagaian destinasi, masakan dan budaya Malaysia.
Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia Lee Thai Hung berkata karnival yang diadakan di sini dengan kerjasama Star Media Group itu menghimpunkan pemain industri dari Singapura dan Malaysia bagi memudahkan pemadanan perniagaan dan mempromosi pakej pelancongan baharu.
"Menerusi sesi B2B ini, kami menyediakan platform untuk pemain industri memperkenalkan program dan destinasi terbaharu mereka,” katanya sambil menambah sesi itu membolehkan peserta menerokai destinasi di luar kebiasaan dan bukan sekadar tawaran pakej tradisional.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia Johor di Pusat Konvensyen Paradigm Mall di sini hari ini.
Lee berkata walaupun karnival berlangsung di Johor, para peserta yang datang dari Sarawak, Sabah, Pahang dan negeri lain turut mempromosikan destinasi dan makanan tradisional mereka sekali gus melibatkan seluruh Malaysia.
-- LAGI
TOURISM MALAYSIA-B2B (AKHIR) JOHOR BAHRU
"Pendekatan ini membolehkan kami memberikan tumpuan kepada pelancongan rentas sempadan khususnya menarik warga Singapura dan pelawat asing lain yang memasuki Malaysia melalui darat di Johor,” katanya.
Lee berkata sambutan daripada pemain industri amat menggalakkan dengan persediaan dan minat semakin meningkat ketika negara bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor tahun depan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing katanya turut mengadakan tinjauan ke tapak baru-baru ini bagi melihat proses persediaan.
"Kami berharap menerusi maklum balas daripada pemain industri Singapura dan tempatan, kami dapat membantu mereka untuk lebih bersedia bagi mencapai sasaran pelancongan pada 2026,” katanya.
-- BERNAMA
TAG: Tourism Malaysia, Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia, B2B, pelancongan
SYAZW SYAZW AHS