PUTRAJAYA, 8 Nov (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan penularan iklan palsu yang menawarkan lesen memandu percuma tanpa ujian dengan menggunakan gambar pegawai tertinggi kementerian dan jabatan termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan, di laman sosial TikTok.
JPJ dalam kenyataan hari ini menegaskan iklan serta akaun yang mempromosikan tawaran tersebut adalah palsu dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan jabatan itu.
Menurut kenyataan itu tindakan pihak tidak bertanggungjawab menggunakan imej pegawai kanan kerajaan, bertujuan memperdaya orang ramai untuk mempercayai promosi berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpredaya dengan iklan atau akaun yang tidak sah bagi mengelakkan kekeliruan dan kerugian,” menurut kenyataan itu.
JPJ turut menggesa orang awam membuat semakan dengan jabatan berkenaan terlebih dahulu, sekiranya menerima tawaran mencurigakan membabitkan lesen memandu.
Sebarang aduan rasmi boleh disalurkan menerusi Portal Aduan Rasmi JPJ di pautan https://jpj.spab.gov.my.
-- BERNAMA