KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Desas-desus pemenang pingat perak beregu lelaki Sukan Olimpik 2016, Tan Wee Kiong-Goh V Shem akan digandingkan semula dilihat tidak akan berlaku dengan Wee Kiong kekal komited terhadap gandingannya sekarang, Nur Mohd Azriyn Ayub.
Spekulasi itu timbul selepas Wee Kiong dan Nur Mohd Azriyn menjadi pemain badminton terbaharu menandatangani kontrak dengan jenama badminton tempatan, FELET yang turut mempunyai V Shem dalam senarai pemain tajaannya.
“Buat masa ini, tiada rancangan ke arah itu. Walaupun kami berdua kini berada di bawah FELET, gandingan saya bersama Nur Mohd Azriyn berjalan dengan sangat baik.
“Saya bersyukur atas kepercayaan dan sokongan penaja. Kami akan terus bekerja keras dan menyasarkan keputusan yang lebih baik dalam kejohanan-kejohanan akan datang,” kata Wee Kiong dalam kenyataan hari ini.
V Shem-Wee Kiong meraih pingat perak di Rio 2016 selepas tewas kepada pasangan China, Fu Haifeng-Zhang Nan, 21-16, 11-21, 21-23.
Bekas pasangan nombor satu dunia itu berpisah pada Ogos 2021.