KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Oriental Holdings Bhd (OHB) dan anak syarikatnya (secara kolektif dikenali sebagai OHB Group) berhasrat untuk membeli Bayview Beach Resort Penang, Bayview Hotel Georgetown dan Bayview Hotel Langkawi.
OHB melalui satu kenyataan hari ini berkata ketiga-tiga hotel itu akan melalui perletakan semula di bawah pengurusan Ascott Ltd, sebuah syarikat hospitaliti yang dilantik oleh pemilik hotel sekarang.
Cadangan pengambilalihan Bayview Hotel Georgetown merangkumi Wisma Boon Siew, sebuah bangunan bersebelahan setinggi 15 tingkat yang terdiri daripada menara pejabat, dua bilik pameran dan tempat meletak kereta.
“Selepas selesai urus niaga, OHB Group akan menerima pemilikan tiga hotel tersebut dengan peranan Ascott diteruskan sebagai pengendali dan pengurus.
“Pengambilalihan ini tertakluk kepada kelulusan para pemegang saham OHB semasa mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan menjelang suku pertama 2026 dan penyempurnaan transaksi selanjutnya,” kata OHB.
Ketiga-tiga hotel itu dijangka akan diselaraskan dengan jenama yang berbeza dalam portfolio Ascott, masing-masing akan disesuaikan dengan segmen pengembara tertentu.
Pengubahsuaian dijadualkan bermula pada 2026 dan akan dilancarkan semula menjelang separuh pertama 2028.
Ketua Pegawai Kewangannya, Adrian Wong berkata tertakluk kepada kelulusan pemegang saham, cadangan pengambilalihan ini merupakan langkah yang bermakna dalam mengukuhkan kehadiran OHB Group di sektor perhotelan Malaysia.
“Sekiranya selesai, ia akan memperluaskan portfolio hotel kami di negara ini dari satu kepada empat hartanah selain mengembangkan portfolio keseluruhan kami dari tujuh kepada sepuluh.
“Kemasukan hotel-hotel ini akan meningkatkan asas pendapatan berulang kumpulan, memberikan kepelbagaian geografi yang lebih besar dan memperluaskan kehadiran kami di seluruh destinasi pelancongan utama di Pulau Pinang dan Kedah, 'katanya.
-- BERNAMA