MELAKA, 8 Nov (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mempergiatkan kempen "Jangan Gunalah: Bebas Plastik Bermula Dari Saya" di seluruh negara bagi memperkukuh usaha pengurangan penggunaan plastik sekali guna dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi SWCorp Hee Loy Sian berkata kempen itu juga sebagai langkah strategik dalam menangani pencemaran dan impak kesihatan awam, di samping memperkenalkan penyelesaian pengurusan sisa pepejal jangka panjang di negara ini.
"Kempen ini dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pihak berkuasa tempatan (PBT), bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap bahaya plastik sekali guna termasuk beg makanan, straw plastik dan barangan plastik harian.
“Plastik yang tidak diurus dengan baik akan mengalir ke sungai dan akhirnya ke laut, memberikan kesan kepada hidupan marin dan kesihatan manusia melalui makanan laut yang tercemar dengan molekul plastik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen itu di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini hari ini.
Hadir sama Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.
Mengulas lanjut, Hee berkata kempen itu bukan sekadar slogan, tetapi satu gerakan perubahan gaya hidup yang menekankan tanggungjawab individu dalam menjaga kelestarian alam sekitar selaras dengan menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 11 dan 12), iaitu ke arah bandar dan komuniti lestari serta penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab.
Beliau berkata di negara ini, lebih 38,000 tan sisa pepejal dihasilkan setiap hari dan hampir 15 peratus daripadanya ialah plastik sekali guna, manakala di Melaka sahaja, kira-kira 1,100 tan sisa dihantar ke Tapak Pelupusan Sungai Udang setiap hari dan hampir 57 peratus daripada jumlah itu boleh dikitar semula sekiranya masyarakat mengamalkan pengasingan sisa dengan betul.
"Setiap individu memainkan peranan, kita mahu hentikan budaya 'pakai buang' dan gantikan dengan budaya guna semula, ia mungkin langkah kecil, tetapi impaknya besar kepada bumi yang kita kongsi bersama," katanya.
Dalam pada itu, Hee berkata sebuah sel baharu tapak pelupusan sementara akan dibina tahun depan di tapak sama di Sungai Udang berikutan tapak sedia ada hampir penuh.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan pengurusan sisa pepejal di Melaka dapat diteruskan dengan selamat dan terkawal, di samping mengelakkan risiko pencemaran kerana apabila mencapai kapasiti maksimum, risiko meningkat termasuk kebocoran air larut resapan (leachate) yang boleh mengalir ke sungai dan mencemarkan sumber air.
"Pembinaan sel baharu ini sebagai langkah sementara bagi menunggu pembinaan loji rawatan sisa kepada tenaga (WTE) yang dijangka siap sepenuhnya pada 2029," katanya.
-- BERNAMA