DUNIA

Trump Desak Senator Republikan Mansuh Obamacare

09/11/2025 09:56 AM

ISTANBUL, 9 Nov (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Sabtu menggesa Senator Republikan agar memansuhkan program Obamacare dan menyalurkan semula dana yang diberikan kepada syarikat insurans kesihatan “terus kepada rakyat.”

Menurut Anadolu Ajansi, Trump dalam hantaran di platform media sosialnya Truth Social mengkritik program insurans yang diperkenalkan oleh bekas Presiden Barack Obama, dengan mendakwa ia gagal memperbaiki sistem penjagaan kesihatan negara.

Beliau mencadangkan kepada Senator Republikan agar “ratusan bilion dolar yang kini disalurkan kepada syarikat insurans bagi menyelamatkan sistem kesihatan di bawah Obamacare, disalurkan terus kepada rakyat supaya mereka dapat membeli perkhidmatan kesihatan sendiri yang jauh lebih baik dan masih mempunyai lebihan wang.”

“Dengan kata lain, ambil daripada syarikat insurans besar yang tamak, berikan kepada rakyat dan hapuskan perbelanjaan bagi sistem kesihatan terburuk di dunia — Obamacare,” katanya.

Langkah itu menandakan usaha terbaharu Trump untuk menghidupkan semula kempen lamanya menentang Akta Penjagaan Mampu Milik (Affordable Care Act) yang diluluskan pada 2010 semasa pentadbiran Obama.

Sementara itu, Senator Demokrat menjadikan subsidi insurans Obamacare sebagai isu utama dan enggan menyokong rang undang-undang pembukaan semula kerajaan yang diluluskan Dewan Perwakilan selagi isu subsidi — yang dijangka meningkat pada awal tahun depan — tidak ditangani.

Kenyataan Trump itu dibuat ketika kesan penutupan kerajaan semakin dirasai, dengan rakyat Amerika berdepan gangguan di lapangan terbang dan ratusan penerbangan dibatalkan akibat kekurangan kakitangan pengawal trafik udara yang masih belum menerima gaji sepanjang tempoh penutupan.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2488700