MOSCOW, 9 Nov (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Pemain tenis kelahiran Moscow, Elena Rybakina yang kini mewakili Kazakhstan, menamatkan musim dengan bergaya apabila muncul juara Kejohanan Akhir Persatuan Tenis Wanita (WTA Finals), lapor Sputnik/RIA Novosti.
Dalam aksi final, Rybakina menewaskan pemain nombor satu dunia Aryna Sabalenka dari Belarus dengan keputusan 6-3, 7-6 (7-0) selepas bertarung selama satu jam 47 minit.
Dalam acara beregu, pemain Rusia Veronika Kudermetova dan rakan gandingannya dari Belgium, Elise Mertens menundukkan pasangan Timea Babos dari Hungary dan Luisa Stefani dari Brazil 7-6 (7-4), 6-1 dalam tempoh satu jam 37 minit.
Kemenangan itu menandakan gelaran kedua buat Kudermetova dan Mertens di WTA Finals selepas kejayaan pertama mereka pada 2022.
Pada Julai lalu, pasangan itu turut menjulang kejuaraan beregu Wimbledon pertama dalam karier masing-masing.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI