JENAYAH & MAHKAMAH

398 Ditahan Dalam Op Noda Serentak Di Seluruh Negara

10/11/2025 12:09 AM

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Polis menahan 398 individu dalam operasi bersepadu 'Op Noda' yang dijalankan serentak di seluruh negara bermula Jumaat lepas hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata operasi itu dijalankan di 118 premis pusat hiburan dan daripada jumlah itu, sebanyak 103 premis didapati beroperasi tanpa lesen hiburan yang sah.  

“Mereka yang ditahan terdiri daripada lima pemilik premis, tiga pengurus premis, 150 pekerja, 112 pelanggan serta 128 pelayan pelanggan (GRO) warga asing selain sejumlah wang tunai dan pelbagai peralatan bagi tujuan hiburan turut dirampas.

“Daripada jumlah itu, 87 orang adalah rakyat tempatan iaitu 76 lelaki dan 11 wanita, manakala 311 lagi adalah warga asing iaitu 151 lelaki dan 160 wanita yang kesemuanya berumur dalam lingkungan 19 tahun hingga 55 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kesemua mereka telah dibawa ke ibu pejabat polis daerah yang berdekatan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

Operasi dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di negeri yang  berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 15(1)(C), Seksyen (6)(1)(C) serta  Seksyen  55B Akta Imigresen 1959/63 selain turut membabitkan Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Enakmen Hiburan serta Ordinan Hiburan negeri di mana individu berkenaan ditahan.

Beliau berkata operasi seumpama ini akan terus dipergiat bagi memastikan semua pusat hiburan di negara ini beroperasi mengikut syarat lesen dan didaftarkan dan  orang ramai digesa menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanterasnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2488929