GEORGE TOWN, 10 Nov (Bernama) -- Mah Sing Group Bhd merancang untuk melaksanakan projek pembangunan bercampur baharu, M Cora di tanah yang baru dibelinya di Pulau Pinang dengan unjuran nilai pembangunan kasar (GDV) RM528 juta.
Pemaju hartanah itu berkata, tapak seluas 1.15 hektar yang terletak di lokasi strategik iaitu hanya 450 meter dari stesen Bandar Sri Pinang di laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara yang akan datang, dibeli daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan harga RM51.8 juta.
"Tapak berhampiran Karpal Singh Drive ini menawarkan hubungan yang lancar ke seluruh Pulau Pinang dan ke tanah besar melalui Penang Sentral dengan menekankan tumpuan Mah Sing dalam membangunkan komuniti bandar yang saling berhubung baik," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini selepas majlis menandatangani perjanjian pembelian tanah di antara Mah Sing dan PDC di sini hari ini.
Perjanjian jual beli berkenaan ditandatangani di antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) anak syarikat hartanah Mah Sing, Yeoh Chee Beng dan Timbalan CEO PDC Roslan Hassan serta disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Mah Sing berkata M Cora mewakili pembelian tanah keempatnya untuk 2025 dan ia memperkukuh rekod kejayaan kumpulan itu di Pulau Pinang sejak 2009.
"Dirancang sebagai pembangunan bercampur yang menampilkan kondominium dan suite komersial, projek ini menyasarkan pelbagai kumpulan pembeli termasuk pemilik rumah pertama, golongan pekerja, keluarga dan pelabur.
"M Cora dijangka dilancarkan pada separuh kedua 2026," katanya.
Sementara itu, Chow dalam ucapannya berkata projek M Cora yang dilaksanakan unit Mah Sing, Enchanting View Development Sdn Bhd merupakan contoh nyata bagaimana sinergi di antara sektor awam dengan swasta dapat mempercepatkan pembangunan negeri.
Beliau berkata, projek ini terletak di kawasan strategik bandar George Town yang sedang pesat membangun selain akan mempertingkatkan imej Pulau Pinang sebagai sebuah bandar moden dan mampan.
Beliau berkata PDC mengiklankan tender jualan tanah untuk projek ini selama dua bulan iaitu dari 24 Januari hingga 24 Mac dan selepas proses penilaian yang telus dan menyeluruh, Enchanting View Development dipilih sebagai pembeli.
"Jualan itu dibuat atas dasar 'sebagaimana adanya' dengan keseluruhan tempoh penyiapan pembangunan dalam tempoh tujuh tahun dari tarikh perjanjian dan jenis pembangunan yang diluluskan merupakan pembangunan bercampur tidak termasuk skim asrama pekerja," katanya.
-- BERNAMA