EKONOMI

Usaha Sama Eni, Petronas Akan Lancar Lapan Projek Huluan Di Indonesia, Malaysia

10/11/2025 04:59 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- NewCo yang baru ditubuhkan, iaitu usaha sama (JV) antara syarikat tenaga Itali Eni S.p.A dan  Petroliam Nasional Bhd (Petronas), dijangka melancarkan lapan projek huluan baharu di Indonesia dan Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang sebagai sebahagian pemacu pembangunan gas berskala besar di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Eni, Claudio Descalzi berkata fasa pertama akan merangkumi empat projek di Indonesia dan empat lagi di Malaysia, di samping  penggerudian tambahan untuk menguji prospek cari gali baharu.

“Dalam tempoh tiga tahun akan datang, kami akan memulakan lapan projek baharu berdasarkan rizab sedia ada, empat di Indonesia dan empat di Malaysia.

“Kami juga akan menggerudi telaga untuk menguji rizab cari gali tambahan yang boleh meningkatkan nilai projek ini,” katanya dalam satu temu bual bersama Bernama baru-baru ini.

Pada 3 Nov lepas, Eni dan Petronas memeterai perjanjian yang mengikat untuk menubuhkan sebuah syarikat bebas (NewCo), usaha sama 50:50 melalui penggabungan aset huluan masing-masing di Indonesia dan Malaysia.

Kedua-dua pihak merancang pelaburan awal sebanyak US$15 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang untuk entiti baharu itu, yang akan menguruskan 19 aset -- meliputi 14 di Indonesia dan lima di Malaysia.

Descalzi berkata penubuhan NewCo akan memanfaatkan potensi gas yang besar dan memperkukuh keterjaminan tenaga di rantau ini.

Beliau berkata perkongsian itu adalah berasaskan penemuan utama melebihi 15 trilion kaki padu (TCF) di Indonesia serta gabungan sumber gas sebanyak 50 TCF di Indonesia dan Malaysia.

Struktur usaha sama itu membolehkan Eni dan Petronas mengumpulkan sumber dan akses pembiayaan luar bagi mempercepat pelaksanaan projek tanpa membebankan kedudukan kewangan syarikat, katanya.

Beliau berkata NewCo akan memulakan operasi dengan pengeluaran melebihi 300,000 tong sehari dan rizab terbukti sebanyak tiga bilion tong, serta tiga bilion tong rizab terbukti (P1), dan tambahan 10 bilion tong sumber setara minyak yang akan dibangunkan.

“US$15 bilion itu merupakan peringkat pertama, dan hanya berdasarkan rizab terbukti (P1),” katanya.

Descalzi berkata operasi usaha sama itu akan memanfaatkan infrastruktur sedia ada di kedua-dua negara, termasuk kemudahan gas asli cecair seperti Bontang di Indonesia, membolehkan masa ke pasaran yang cepat dan mengurangkan kos pembangunan keseluruhan.

Beliau berkata Indonesia dan Malaysia terletak secara strategik untuk memenuhi permintaan gas serantau yang semakin meningkat daripada ekonomi yang sedang pesat membangun seperti China, Jepun, India, Vietnam dan Korea Selatan, apabila gas asli semakin digunakan bagi menggantikan arang batu untuk penjanaan tenaga.

Asia Tenggara menawarkan persekitaran berisiko rendah bagi operasi huluan memandangkan perkongsian yang kukuh struktur, infrastruktur yang lengkap dan permintaan pasaran yang semakin meningkat, katanya.

Beliau berkata perkongsian Eni dengan Petronas akan berperanan secara dua hala dalam memajukan keterjaminan tenaga dan matlamat alam sekitar dengan mempromosikan gas sebagai alternatif yang lebih bersih berbanding arang batu untuk penjanaan tenaga.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2489148