GEORGE TOWN, 11 Nov (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C kerana disyaki melanggar syarat sah lesen di perairan timur Limbungan Batu Maung, dekat sini semalam.
Pengarahnya Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata tindakan itu diambil susulan beberapa aduan awam berhubung kegiatan nelayan yang dipercayai menjalankan aktiviti menangkap ikan di bawah jarak dibenarkan.
"Hasil rondaan dan pemeriksaan, kami mengesan sebuah VNT kelas C yang beroperasi kurang 15 batu nautika dari pantai iaitu melanggar syarat lesen yang ditetapkan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati vesel berkenaan dikendalikan seorang tekong dan dua kru kesemuanya berusia antara 49 hingga 65 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.
-- BERNAMA