KOTA KINABALU, 11 Nov (Bernama) -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan nasihat berkaitan ribut tropika kuat (Fung-Wong) yang dikesan pada 8 pagi di latitud 19.8 utara dan longitud 117.9 timur kira-kira 335 kilometer (km) ke arah barat laut Laoag City, Filipina.
Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional MetMalaysia memaklumkan ribut berkenaan kini dikesan bergerak ke arah utara barat laut dengan kelajuan 15km sejam serta kelajuan angin maksimum 111km sejam.
MetMalaysia memaklumkan jarak ribut dari bandar terdekat adalah kira-kira 1,439km ke timur laut Kudat, Sabah.
"Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Laut China Selatan," menurut kenyataan itu.
Semasa membadai Filipina, Taufan Fung-Wong mengakibatkan 18 kematian dan 1.4 juta penduduk terpaksa berpindah.
-- BERNAMA