AM

Pembinaan Sebahagian Jalan Trans Borneo Di Sarawak Bermula Suku Pertama 2026 - Nanta

11/11/2025 04:10 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Pembinaan sebahagian jajaran jalan sepanjang 4.95 kilometer (km) bagi Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB) dijangka mula dilaksanakan pada suku pertama tahun depan, demikian Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata jajaran jalan yang merangkumi Jalan Kuala Baram By Pass, Miri, dari Sungai Baram hingga ke Institut Latihan Perindustrian Miri, kini sedang dalam proses perolehan tender oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

Beliau menjelaskan projek ini dirancang untuk meningkatkan tahap infrastruktur jalan raya serta memperkukuh rangkaian pengangkutan darat di wilayah utara Sarawak.

“Selain itu, jajaran sepanjang 9.7 km yang merupakan laluan redline sedang diselenggara oleh syarikat konsesi sejak 1 Jun lepas.

“Jajaran menuju Kuala Baram ini pada asalnya adalah jalan negeri dan kemudian ditukar milik kepada jalan Persekutuan memandangkan peranannya sebagai penghubung utama antara Malaysia dan Brunei,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Chiew Choon Man (PH-Miri) mengenai usaha kerajaan memperbaiki dan menaik taraf bahagian Jalan Kuala Baram By Pass Miri yang berada dalam keadaan teruk.

Nanta berkata bagi kerja menaik taraf laluan redline, Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang melaksanakan kerja menaik taraf struktur jalan yang semakin uzur akibat pertambahan jumlah kenderaan, termasuk kenderaan berat dan muatan berlebihan.

“Memandangkan jalan ini menjadi penghubung utama dua negara, usaha menaik taraf adalah penting bagi menjamin keselamatan, keselesaan dan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya.

“Di bawah skop Kerja Penyenggaraan Rutin, pihak konsesi perlu melakukan rondaan pemeriksaan rutin jalan persekutuan dua kali seminggu. Jika terdapat kerosakan seperti jalan berlubang, kerja tampalan hendaklah dilaksanakan dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Beliau berkata penalti akan dikenakan terhadap syarikat konsesi sekiranya tindakan yang diambil melebihi dari tempoh tindakan yang ditetapkan.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2489513