AM

TPM Ahmad Zahid Ucap Tahniah Pearly-Thinaah Rangkul Juara Masters Jepun 2025

16/11/2025 08:44 PM

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan tahniah kepada beregu wanita utama negara Pearly Tan-M.Thinaah atas kejayaan menjuarai Masters Jepun 2025 di Kumamoto, hari ini.

Beliau berkata kemenangan itu bukan sahaja menjadi sumber inspirasi kepada rakyat malah turut melakar sejarah buat badminton negara apabila pasangan berkenaan muncul sebagai beregu Malaysia pertama menjuarai kejohanan berprestij tersebut.

“Tahniah saya ucapkan kepada beregu wanita negara Pearly Tan–M Thinaah atas kejayaan menjuarai Kumamoto Masters di Jepun sebentar tadi. Cukup hebat!.

“Lebih membanggakan, kejayaan ini merupakan gelaran ketiga Jelajah Dunia BWF buat Pearly dan Thinaah sekali gus membuktikan bahawa pemain Malaysia mampu berdiri megah di pentas dunia. Seluruh rakyat Malaysia bangga dan akan terus berdiri di belakang kalian,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Pearly-Thinaah muncul juara selepas menewaskan pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 22-20,21-19 pada aksi final kejohanan itu.

--BERNAMA

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2491503